Kerajaan baharu perlu telus urus dana awam: Rafidah
SHAH ALAM - Kerajaan baharu perlu lebih telus dan bertanggungjawab dalam penggunaan dana awam untuk pentadbiran negara, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.
Beliau berkata, ini kerana setiap sen dana awam yang digunakan itu adalah hasil daripada pembayaran cukai, duti dan yuran yang dilakukan oleh pemegang taruh negara iaitu rakyat dan juga entiti perniagaan.
“Kita, rakyat berhak mengharapkan kerajaan antara lain bersikap bijaksana dan berhati-hati dalam menggunakan dana awam di semua peringkat pentadbiran.
"Pastikan bahawa setiap perbelanjaan akan bermanfaat bagi rakyat baik secara langsung mahupun tidak langsung dan bertanggungjawab atas segala perbelanjaan serta terbuka untuk diteliti oleh jawatankuasa akaun awam serta Parlimen.
"Tidak ada yang akan mempersoalkan jika mana-mana individu menggunakan wang datuknya, harta pusaka atau wang yang diperoleh secara jujur. Tetapi rakyat akan selalu mempersoalkan bagaimana kerajaan membelanjakan wang mereka (rakyat),” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Rafidah menjelaskan, dana awam tidak seharusnya dibelanjakan secara ‘semberono’ atau untuk tujuan mengadakan acara bagi meningkatkan status diri kerana ia merupakan sebuah sumber yang perlu diuruskan dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan sebelum ini juga telah menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk mengelakkan pembentangan perbelanjaan di Parlimen dan rakyat Malaysia hanya mengetahui tentang jumlah berbilion yang telah dibelanjakan.
“Ini adalah pengurusan dan tadbir urus yang buruk serta tidak bertanggungjawab kerana tidak terbuka untuk diteliti.
"Diharapkan kerajaan yang ‘baharu’ menunjukkan tanggungjawab dan integriti dalam menguruskan negara dan tidak terus melakukan perkara yang akhirnya akan merosakkan negara kita,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!