Permintaan rumah teres 'subsale' pinggir bandar meningkat

 Permintaan untuk rumah teres subjualan terutama di pinggir bandar, meningkat 29 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama tahun 2021 . Gambar hiasan
Permintaan untuk rumah teres subjualan terutama di pinggir bandar, meningkat 29 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama tahun 2021 . Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permintaan untuk rumah teres subjualan terutama di pinggir bandar, meningkat 29 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama tahun 2021 dengan purata harga permintaan melonjak 1.6 peratus disebabkan amalan kebiasaan baharu iaitu bekerja dari rumah dalam persekitaran pandemik Covid-19, kata iProperty,com.my.

Sebaliknya, portal hartanah itu berkata, harga permintaan untuk kondominium di pasaran hartanah sekunder turun 0.9 peratus tahun ke tahun manakala kediaman servis subjualan turun 1.1 peratus dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, walaupun terdapat permintaan tinggi masing-masing sebanyak 5.2 peratus dan 6.8 peratus tahun ke tahun kebanyakannya berikutan jumlah unit yang tidak terjual adalah tinggi dan dengan kebanyakan penjual meletakkan harga yang lebih rendah untuk menarik pembeli.

Secara keseluruhan, data daripada iProperty.com.my menunjukkan bahawa sentimen pengguna untuk hartanah kediaman subjualan naik 19.2 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2021 daripada penurunan sebanyak 2.5 peratus tahun ke tahun pada tempoh sama tahun lalu.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan dan Kualiti iProperty.com.my, Premendran Pathmanathan berkata, pandemik Covid-19 tidak memberi kesan buruk kepada segmen hartanah kediaman subjualan seperti yang berlaku pada separuh pertama 2020 ketika permintaan merosot ke paras negatif.

"Salah satu faktor kritikal yang menyokong pemulihan permintaan pada separuh pertama 2021 adalah para pencari hartanah mula merasa selesa dengan idea melakukan carian hartanah mereka secara dalam talian.

“Perbincangan dengan ejen hartanah secara maya juga diterima sebagai salah satu kelaziman baharu," katanya ketika membentangkan laporan Analisis Permintaan Portal Pasaran Kediaman Sekunder Separuh Pertama 2021 secara maya pada Selasa.

Sementara itu, iProperty.com.my dalam kenyataan yang berasingan berkata, pertumbuhan permintaan dua digit pada separuh pertama 2021 bukan sahaja menunjukkan pertambahan minat dalam hartanah, pembeli rumah juga mengambil tindakan susulan dengan memohon pinjaman perumahan pada separuh pertama 2021, petunjuk yang jelas bahawa mereka mahu membeli.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan data permohonan pinjaman bulanan Bank Negara Malaysia (BNM), nilai permohonan pinjaman rumah meningkat 86 peratus tahun ke tahun kepada RM179.4 bilion pada separuh pertama 2021 daripada RM96.4 bilion pada separuh pertama 2020, nilai pinjaman yang diluluskan juga meningkat sebanyak 92.6 peratus tahun ke tahun dalam tempoh yang sama.

"Susulan daripada Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang berada pada paras terendah sebanyak 1.75 peratus, pencari hartanah mencari hartanah yang menawarkan kadar faedah yang rendah,” katanya.

Mengenai prospek harga permintaan di pasaran hartanah subjualan, Premendran menjangkakan harga bagi kediaman bertingkat tinggi akan terus merosot kerana pemilik tidak dapat meletakkan harga tinggi kerana penawaran melebihi permintaan.

“Untuk rumah teres terutama di kawasan pembangunan matang seperti Damansara dan Taman Tun Dr Ismail, Damansara Heights, Petaling Jaya dan Subang Jaya, anda tidak melihat penurunan dalam harga permintaan, oleh itu, segmen ini sama ada akan kekal sama atau mencatatkan pertumbuhan sederhana kelak,” katanya.

Ditanya sama ada Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang baharu kini mempunyai kriteria yang lebih ketat akan memberi kesan kepada sektor hartanah, beliau berkata walaupun kekurangan data mengenai isu tersebut, iProperty.com.my menyaksikan pertumbuhan permintaan daripada warga asing sejak ia dibekukan sementara sejak Ogos tahun lalu.

"Daripada segi jumlah pengunjung di laman web iProperty.com.my, kami mendapati pengunjung daripada Singapura naik 15 peratus dan pengunjung dari Indonesia melonjak 100 peratus walaupun ketika MM2M dihentikan sementara. Kami dapat melihat kenaikan permintaan daripada warga asing dan pembekuan MM2M itu tidak menjejaskan pengunjung warga asing ke laman web kami," katanya.

Kerajaan telah membekukan MM2H bagi sementara waktu pada bulan Ogos 2020 selepas memutuskan untuk tidak membenarkan warga asing masuk ke Malaysia susulan daripada penularan Covid-19, bagaimanapun program tersebut akan diaktifkan semula pada Oktober tahun ini dengan peraturan yang lebih ketat.

Mengenai prospek keseluruhan hartanah kediaman subjualan, Premendran berkata, sekiranya Malaysia dapat mencapai imuniti kelompok pada akhir 2021 bersama pembukaan semula ekonomi dan pintu sempadan maka tanpa sebarang keraguan bahawa sentimen akan bertambah baik pada akhir tahun 2022.

"Dalam persekitaran kadar faedah yang lebih rendah ketika ini, moratorium pinjaman, ditambah dengan pakej rangsangan yang membantu rakyat yang terkesan demi meneruskan kelangsungan hidup, kami berharap langkah-langkah ini dapat membantu pasaran hartanah sehingga ekonomi dibuka semula,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!