300 penduduk di Parit Besar siap siaga fenomena air pasang
BATU PAHAT - Lebih kurang 300 penduduk di sekitar Taman Sri Wangsa, Taman Pelangi dan Taman Flora di Parit Besar di sini bersiapa siaga dengan fenomena air pasang besar dijangka berlaku malam Selasa yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan kediaman mereka.
Seorang penduduk, Mohamad Amin Mohd Sayed, 50, berkata, sebelum itu hujan pada kira-kira jam 5.30 pagi hingga 8 pagi tadi mengakibatkan kediamannya dinaiki air.
“Ketika air mula naik, saya dan ahli keluarga sedang tidur di ruang tamu, namun tersedar apabila terdengar bunyi angin kuat disusuli hujan lebat.
“Hujan lebat lebih tiga jam mengakibatkan banjir, sehingga sekarang (4 petang) masih belum surut sepenuhnya. Kini saya bersiap sedia untuk berhadapan dengan fenomena air pasang besar pula, selain hujan yang diramal pada malam ini dan awal pagi esok,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Wangsa, di sini pada Selasa.
Seorang lagi penduduk, Fairul Nizam Shah Amri, 31, turut berjaga-jaga dengan fenomena air pasang besar itu kerana kediamannya masih digenangi air dan masih menunggu arahan pihak berkuasa sekiranya perlu berpindah.
“Sepanjang tujuh tahun tinggal di sini, ini kejadian banjir paling teruk kerana air naik dengan pantas sehingga tidak sempat untuk menyelamatkan barangan elektrik dan perabot di dalam rumah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Batu Pahat, Kapten Mohd Faezie Abdul Aziz berkata, banjir di daerah ini berlaku akibat hujan lebat dan pertembungan air pasang di Sungai Simpang Kanan, kira-kira 500 meter dari kediaman penduduk.
Katanya, hujan lebat pagi Selasa mengakibatkan banjir dengan kedalaman 0.8 meter selain bertembung dengan air pasang setinggi 1.4 meter.
“Pihak kami kini terus melakukan pemantauan di kawasan rendah dan berisiko, selain menasihatkan orang ramai agar melaporkan kepada agensi terlibat dengan segera sekiranya berlaku banjir,” katanya.
Melalui tinjauan pada jam 4 petang, banjir belum surut sepenuhnya dan penduduk sekitar masih menunggu arahan lanjut daripada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat.
Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara dibuka di daerah itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!