PKRC Stadium Negeri Kuala Terengganu mula beroperasi esok
KUALA TERENGGANU - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Stadium Negeri Kuala Terengganu di sini akan mula menerima pesakit Covid-19 yang berisiko rendah khusus untuk pesakit lelaki di negeri ini mulai Rabu.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, buat hari pertama, seramai 40 pesakit kategori satu hingga empat dari PKRC Kolej Kejururawatan, di sini akan dipindahkan ke PKRC itu.
"Kita akan menempatkan seramai 37 termasuk pegawai dan kakitangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk bertugas di sini.
"PKRC ini mampu menempatkan maksimum 390 buah katil keseluruhannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Stadium Negeri Kuala Terengganu sebagai PKRC di sini, pada Selasa.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong.
Alias berkata, pembukaan PKRC baharu ini merupakan salah satu langkah awal bagi menangani peningkatan kes yang direkodkan sejak kebelakangan ini di negeri ini.
"Sebelum ini, tular di media sosial kononnya kita terpaksa membuka PKRC ini ekoran berlakunya kesesakan pesakit Covid-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan tular itu sememangnya tidak benar sama sekali.
"Kami membuka PKRC ini sebagai persediaan awal apabila kerajaan mengumumkan semua institusi pengajian tinggi (IPT) boleh dibuka seperti biasa, maka secara automatik PKRC di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering di sini dan PKRC Kolej Kejururawatan terpaksa ditutup.
"Buat masa ini, terdapat enam PKRC beroperasi di seluruh negeri dengan penggunaan 2,973 katil dan daripada jumlah itu, 2,001 buah katil digunakan pesakit iaitu pengisian katil hanya 67.31 peratus," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!