Warga emas maut kepala digilis lori
KOTA BHARU - Seorang warga emas maut dalam keadaan tragis dengan kepala digilis lori selepas terbabit kemalangan di Kampung Kemumin, Panchor, di sini pada Selasa.
Kejadian berlaku pada jam 10.30 pagi dan mangsa, Md Salah@Md Salleh Omar, 69, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas motosikal lelaki tersebut bergesel dengan sebuah lori menyebabkan mangsa terjatuh lalu kepalanya digilis kenderaan berat itu.
Katanya, lori itu dari arah Panchor ke Panji dan sebaik sampai di lokasi kemalangan lori dipandu secara perlahan dan berhenti bagi memberi laluan kepada sebuah bas yang datang dari arah bertentangan untuk masuk ke lorong di sebelah kiri laluan.
“Ketika meneruskan semula perjalanan, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego Solariz datang dari arah sama cuba memotong lori itu di laluan kiri jalan dan dipercayai bergesel di bahagian sisi kiri belakang lori.
“Mangsa kemudian terjatuh sebelum digilis tayar belakang kiri lori. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pihak perubatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Selasa.
Menurut beliau, mangsa yang beralamat di Kampung Chepa, Sering dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.
“Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan ini supaya tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu atau menghubungi talian 09-7752200 bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!