Ikram mohon maaf terbit video 'Mak, Dah Siap!'
SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) memohon maaf susulan penerbitan video bertajuk 'Mak, Dah Siap!' yang dimuat naik pada 22 Ogos lalu.
Ia susulan maklum balas netizen terhadap video berkenaan yang dikatakan menimbulkan sensitiviti perkauman meskipun tujuan asal adalah untuk mendidik semangat kebangsaan rakyat Malaysia sejak dari kecil.
Ikram dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan komen-komen positif dan negatif daripada netizen dan pihak tertentu berkenaan video tersebut.
"Video 'Mak, Dah Siap!' adalah sebahagian daripada produk penerbitan sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2021 yang dianjurkan dengan tema #MerdekaBersama.
"Mesej utama yang ingin disampaikan dalam video ini adalah untuk menunjukkan realiti semasa sebahagian anggota masyarakat di Malaysia yang cenderung memberikan gelaran kepada bangsa lain dan melabelkan bangsa tersebut dengan sesuatu perbuatan atau tindak-tanduk negatif.
"Ikram merasakan stereotaip ini perlu dihentikan, apatah lagi jika ia mula dipelajari oleh anak-anak dari awal usia.
"Sebagai anggota masyarakat, ibu bapa khususnya, kita hendaklah sentiasa menunjukkan contoh teladan yang baik dan mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini," jelas kenyataan itu pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, atas rasa tanggungjawab menjaga sensitiviti dan memelihara keharmonian antara kaum, Ikram menarik semula penerbitan video tersebut di semua media sosial yang dikendalikan pertubuhan berkenaan.
Tambahnya, sebagai sebuah pertubuhan dakwah dan kebajikan, Ikram sentiasa berusaha untuk menyampaikan mesej dan nasihat yang baik kepada rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
Pada Isnin, Sinar Harian menafikan pembabitan dalam penerbitan video 'Mak Dah Siap!' itu.
Ia berikutan logo Sinar Harian ditampilkan pada akhir video tersebut.
Pihak pengurusan Sinar Harian menjelaskan, bagi memeriahkan Bulan Kemerdekaan, Sinar Harian menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan pelbagai berita, artikel, video dan program yang disiarkan menerusi akhbar dan platform digital Sinar Harian.
Sehubungan itu, Sinar Harian bersetuju untuk menjadi rakan sinergi membantu pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mempromosikan aktiviti dan program merdeka mereka.
Ikram antara NGO yang mendapat persetujuan kerjasama Sinar Harian dalam mempromosikan Kempen Bulan Kebangsaan 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!