Negara Eropah bergelut patuhi tarikh akhir

Kumpulan terdiri daripada warga Afghanistan dibawa menaiki pesawat C-17 ketika operasi pemindahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul dipergiatkan. - Foto AFP
Kumpulan terdiri daripada warga Afghanistan dibawa menaiki pesawat C-17 ketika operasi pemindahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul dipergiatkan. - Foto AFP
A
A
A

PARIS - Perancis memaklumkan ia akan menamatkan operasi pemindahan di Kabul pada Khamis ini jika Amerika Syarikat (AS) meneruskan rancangan asal pengunduran pasukan tentera mereka pada akhir bulan ini.

Ketua Turus, Nicolas Roche pada Selasa memaklumkan hampir 2,000 rakyat mereka dan warga Afghanistan telah dipindahkan selepas Presiden Emmanuel Macron membuka pintu kepada kumpulan yang melarikan diri daripada Kabul.

Sementara itu, Kementerian Luar mengenal pasti kira-kira 62 lagi rakyat Perancis yang memerlukan pemindahan segera selain menyemak semula permohonan warga tempatan yang mahu meninggalkan negara tersebut.

Sepanyol pula dalam satu kenyataan memberitahu, ia mungkin tidak dapat memindahkan kesemua warga Afghanistan yang pernah berkhidmat di bawah misi negara itu berikutan situasi ‘dramatik’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai.

Menurut Menteri Pertahanan, Margarita Robles, lebih 700 sudah pindahkan dari Kabul, namun masih ramai yang mahu keluar segera dari negara itu.

Pada Isnin, Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis menggesa Kesatuan Eropah (EU) membantu negara jiran Afghanistan untuk menghentikan aliran kumpulan migran baharu ke rantau tersebut.

Gesaan itu dibuat selepas Mitsotakis menghubungi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Jumaat lalu untuk berbincang tentang keperluan memberi sokongan kepada negara jiran terdekat Kabul bagi mengelakkan krisis pelarian kembali berulang.

Ketika ini, Athens memberikan perlindungan kepada kira-kira 40,000 pemohon suaka dan pelarian dari Kabul malah Greece pernah berdepan gelombang kebanjiran migran ketika lebih sejuta merentasi dari Turki ke EU pada 2015. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!