Bapa cedera ditikam anak sakit mental

Mohamad Ismail
Mohamad Ismail
A
A
A

BACHOK - Seorang lelaki warga emas cedera pada muka, kepala dan beberapa bahagian anggota badan akibat ditikam anak lelakinya yang mengalami penyakit mental di sebuah rumah berhadapan Pasar Bachok di sini pada Selasa.

Mangsa, pesara Inspektor Kesihatan berusia 66 tahun tersebut diserang dengan menggunakan sebilah pisau oleh suspek yang berusia 28 tahun.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok menerima maklumat awal berhubung satu pergaduhan menerusi panggilan kecemasan pada jam 11.11 pagi.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca kerana suspek yang tidak suka mendengar tangisan cucu mangsa berusia empat tahun.

“Suspek memarahi bapanya kerana membiarkan kanak-kanak itu menangis sambil suspek memukul mangsa menggunakan tangan.

“Seorang lagi cucu perempuan mangsa yang berusia 16 tahun berada di rumah dan cuba menghalang suspek tetapi tidak berjaya.

“Suspek kemudian dilihat pergi ke dapur mengambil sebilah pisau lalu datang menikam mangsa beberapa kali di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Selasa.

Beliau berkata, gadis itu kemudian melarikan diri ke tingkat atas rumah meminta tolong pembantu rumah menghubungi pihak polis.

Artikel Berkaitan:

“Seorang lagi anak lelaki mangsa yang lain menerima panggilan daripada ayahnya memaklumkan bahawa adik lelakinya sedang mengamuk di rumah.

“Apabila dia balik ke rumah mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah pada muka, badan serta tangan manakala suspek sedang berdiri berhampiran mangsa sambil memegang sebilah pisau yang terdapat kesan darah,” katanya.

Menurut beliau, suspek disuruh abangnya supaya meniarap ke lantai dan ditinggalkan di rumah tersebut manakala mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Bachok untuk rawatan yang kini berada dalam keadaan stabil.

“Suspek adalah seorang pesakit mental yang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak lima tahun lalu dan perlu mengambil ubat setiap enam bulan.

“Suspek berjaya ditahan dan satu bilah pisau berukuran anggaran 20 sentimeter panjang dirampas untuk siasatan,” katanya.

Ujar beliau, ujian urin suspek juga pengganggur itu didapati negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya,

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!