Ismail Sabri gagal jika teruskan kabinet ‘raksasa’

A Kadir
A Kadir
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dianggap gagal jika meneruskan kabinet ‘raksasa’ yang menghimpunkan terlalu ramai menteri dan timbalan menteri, sebagaimana yang dilakukan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin berkata, Ismail Sabri hanya akan mengikut acuan lama jika meneruskan amalan itu yang disifatkannya sebagai sesuatu yang merugikan dan membebankan negara.

Menurutnya, jumlah 70 menteri di bawah 32 portfolio sebelum ini terlalu besar sehingga rakyat sendiri tidak mengenali dan tidak nampak fungsi yang dimainkan.

“Saya sangat bimbang kalau perangai acuan lama kerajaan PN diteruskan khususnya mengenai bilangan kabinet raksasa ini. 30 lebih menteri, 30 lebih timbalan sampai hari ini saya ingat separuh daripadanya kita tak kenal dan tak tahu apa yang mereka buat.

“Sangkaan saya ialah mereka menyusahkan penjawat awam pula kerana terpaksa menjaga menteri dan timbalan menteri yang terlalu banyak sampai tak boleh buat kerja untuk rakyat jelata. Kalau Ismail Sabri mengekalkan bilangan yang diwujudkan oleh Muhyiddin, saya anggap dia gagal.

“Tahukah kita bahawa dengan memperbesarkan kementerian dan bilangan menteri pada tahun 2020, kerajaan terpaksa menambah perbelanjaan tambahan sebanyak RM7.5 bilion. Ini bukan sikit,” katanya dalam Wacana Sinar Harian yang bertajuk Keluarga Malaysia Penawar Luka Rakyat.

Wacana itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan panel yang terdiri daripada Penganalisis Politik, Dr Sharifah Shahirah Syed Sheikh; Ketua Pemuda DAP, Howard Lee dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi.

Artikel Berkaitan:

Wacana Sinar Harian yang bertajuk Keluarga Malaysia Penawar Luka Rakyat dikendalikan oleh moderator, Ismail Adnan.
Wacana Sinar Harian yang bertajuk Keluarga Malaysia Penawar Luka Rakyat dikendalikan oleh moderator, Ismail Adnan.

Jelas A Kadir, dia tidak mempercayai usaha ‘Keluarga Malaysia’ yang dibawa Ismail Sabri, selagi tidak nampak bukti yang konkrit.

Malah katanya, slogan 1Malaysia yang diperkenalkan sebelum ini, hanya tinggal 1MDB yang mana hutangnya melibatkan puluhan bilion ringgit.

“Jadi, slogan ini saya rasa hanya ‘branding’ sahaja, saya tak boleh percaya sebab kalau kita berpegang pada janji kita iaitu demi agama, bangsa dan negara, kita tidak akan menipu, tidak akan berlaku benda-benda yang tak betul,” jelasnya.

Menyentuh mengenai pengurusan Covid-19, beliau berkata, ia dikendalikan oleh menteri-menteri UMNO sepenuhnya, namun hanya melihat Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berjaya menjalankan tugas dengan baik.

“Yang lain itu, maaf cakaplah saya tidak berasa bangga sangat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!