Liek Hou, Didin sudah sedia gegar Paralimpik Tokyo 2020
DUA jaguh badminton perseorangan lelaki para negara Cheah Liek Hou dan Didin Taresoh disifatkan sudah bersedia menyahut cabaran dalam acara badminton Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Yoyogi.
Namun legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, mahu kedua-dua anak buahnya itu memberi fokus kepada satu perlawanan ke satu perlawanan bagi mengelak tekanan berlebihan dalam misi meraih pingat emas yang disasarkan sebelum ini.
“Sejujurnya semua atlet yang dapat peluang pergi ke temasya sukan terbesar dunia ini mahu mencipta sesuatu yang tidak hanya boleh dibanggakan mereka tetapi juga rakyat dan negara.
“Apatah lagi kita sudah melakukan persiapan rapi dengan menjalani latihan mengikut kaedah gelembung sukan di Majlis Sukan Negara (MSN) hampir tiga bulan ini.
“Pada saya Liek Hou dan Didin merupakan atlet para yang cukup berpengalaman kerana sebelum ini telah menyertai pelbagai kejohanan selain pernah muncul juara kejohanan.
“Cumanya saya sebagai jurulatih mahu kedua-duanya tidak berfikir terlalu jauh sebaliknya mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan dalam saingan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 ini,” katanya yang juga jurulatih kepada kedua-dua atlet Para berkenaan kepada Sukan Sinar.
Menurut Rashid lagi, kedua-dua anak buahnya itu cukup teruja kerana ini merupakan pengalaman pertama mereka apabila beraksi di temasya Sukan Paralimpik.
“Apapun saya akui biarpun kedua-duanya berpengalaman, namun hakikatnya tetap akan ada tekanan sebab harapan rakyat Malaysia kepada mereka adalah untuk membawa pulang emas dari Paralimpik Tokyo 2020.
“Insya-ALLAH, kami akan memberikan aksi yang terbaik dalam misi membawa pulang pingat emas untuk negara, namun pada masa sama harus realistik cabaran yang akan ditempuhi sepanjang berada di sana.
“Di sini, saya berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan keselamatan dan kejayaan tidak hanya kami tetapi juga kontinjen Paralimpik Tokyo 2020 Malaysia untuk meraih kejayaan di bumi Tokyo,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!