Kereta api Korea lintasi Pyongyang buat pertama kali
Rakaman detik bersejarah itu menunjukkan kereta api merah, putih dan biru dengan kain rentang tertera 'Iron Horse kini menuju era keamanan dan kemakmuran' ketika ia berlepas dari stesen Dorasan di Seoul.
"Isyarat permulaan hubungan kemakmuran bersama ini adalah dengan menghubungkan semula laluan kereta api," kata Menteri Pengangkutan Korea Selatan, Kim Hyun-mee.
Menurutnya, projek itu akan memudahkan pengembangan 'wilayah ekonomi' Seoul ke Eurasia melalui jalan darat kerana pembahagian Semenanjung Korea telah menyebabkan geopolitik negara itu terputus dari benua selama beberapa dekad.
Sementara itu, media tempatan melaporkan enam gerabak kereta api itu membawa 28 rakyat Korea Selatan termasuk jurutera dan pekerja lain termasuk 55 tan bahan bakar serta penjana elektrik.
Difahamkan, pekerja terbabit bersama rakan sekerja mereka di Pyongyang akan berada di dalam kereta api itu untuk memeriksa landasan terbabit selama 18 hari.
Salah satu laluan itu menghubungkan bandar Kaesong ke bandar Sinuiji berhampiran sempadan China manakala laluan lain menghubungkan Gunung Kumgang ke Sungai Tumen yang bersempadan Rusia di bahagian timur.
Kementerian Pengangkutan Korea Selatan dalam satu kenyataan memaklumkan mereka akan melalui perjalanan sejauh 2,600 kilometer untuk menjayakan projek itu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!