Polis buru suspek kes pecah rumah, curi motosikal

Tular sebuah video salah sebuah rumah mangsa yang dipecah masuk di Facebook pada Selasa.
Tular sebuah video salah sebuah rumah mangsa yang dipecah masuk di Facebook pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Polis sedang mencari seorang individu yang disyaki terlibat dalam dua kes pecah rumah dan curi motosikal yang berlaku di sekitar Sabak Bernam sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kegiatan itu dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah di kawasan terbabit.

Menurutnya, lelaki terbabit dilihat berlegar-legar di kawasan rumah mangsa dan meninggalkan barang penagihan dadah.

"Polis percaya individu itu mempunyai kaitan dalam semua kes pecah rumah dan curi motosikal berlaku di kawasan tersebut," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Agus Salim berkata, kejadian pecah rumah di Jalan Besar Parit Baru pada Jumaat lalu berlaku apabila seorang mangsa berusia 58 tahun dihubungi jiran memaklumkan kediamannya yang tidak berpenghuni sejak April lalu dipecah masuk.

"Mangsa kemudian dari Teluk Panglima Garang tiba pada jam 11 malam di kediamannya dan mendapati tingkap kaca hadapan rumah pecah dan pintu bahagian dalam diumpil.

"Selain itu, didapati barang di dalam bilik berselerak dan mengesan sebuah mesin grinder, dua parang hilang disyaki dicuri," katanya.

Jelas Agus Salim, pihaknya turut menerima laporan kes pecah rumah yang sedang dalam proses ubah suai di Jalan Parit Baru Selatan pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kejadian berlaku apabila mangsa berusia 34 tahun dan isteri tinggal di rumah mertua sementara menunggu rumahnya siap diubah suai.

"Mangsa menyedari kejadian itu pada jam 6 pagi apabila mendapati pintu hadapan rumahnya terbuka.

"Hasil pemeriksaan mendapati beberapa dokumen penting seperti MyKad, kad bank, lesen cukai jalan, kad nikah, tiga gelang emas, subang, empat cincin dan wang tunai RM340 dilarikan penjenayah dengan nilai keseluruhan kerugian dianggarkan sebanyak RM9, 340," katanya.

Ujarnya, siasatan mendapati pintu dan tingkap rumah mangsa tidak berkunci dan hanya bertutup membolehkan sesiapa sahaja masuk.

"Mangsa mengesyaki suspek masuk dari pintu gelongsor bilik utama kerana pintu tersebut terbuka ketika pulang dari rumah mentuanya jam 6 pagi," katanya.

Menurut Agus Salim, selain dua kes pecah rumah, pihaknya turut menerima laporan kehilangan sebuah motosikal di Kampung Batu 37 Darat di sini pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa bekerja sebagai tukang kebun memaklumkan kejadian disedari berlaku pada jam 5.30 pagi sewaktu mangsa tidur di rumah kawannya.

"Mangsa menyedari motosikalnya jenis Yamaha 15ZR yang diletakkan di garaj rumah dalam keadaan berkunci telah tiada semasa mangsa dan kawannya tidur di sofa garaj tersebut.

"Beg sandang mangsa yang diletakkan di atas meja tempat tidur turut dijumpai berselerak di luar rumah bersama satu botol air minuman.

"Dipercayai suspek sempat mengambil makanan di atas meja dalam garaj dan menjamah makanan di luar garaj," katanya.

Sehingga kini, katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) dan 379A KK.

Video kes pecah rumah sekitar daerah ini tular di Facebook pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!