'Berdepan gegaran kuat, letupan setiap hari'

Keadaan bumbung salah seorang penduduk yang pecah dipercayai terkena batu yang terpelanting dipercayai dari kuari berdekatan. Gambar kecil: Meenakshi
Keadaan bumbung salah seorang penduduk yang pecah dipercayai terkena batu yang terpelanting dipercayai dari kuari berdekatan. Gambar kecil: Meenakshi
A
A
A

GEORGETOWN - Penduduk meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap operasi kuari yang sedang beroperasi berdekatan dengan taman perumahan di Sungai Ara, Bayan Baru di sini.

Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Ida berkata, operasi kuari tersebut bermula sejak beberapa tahun lalu dan sejak itu timbul kegusaran kepada penduduk berdekatan.

Menurutnya, hampir setiap hari lebih 300 penduduk terpaksa berhadapan dengan letupan dan gegaran kuat seperti gempa bumi yang dihasilkan daripada kuari tersebut.

"Kuari ini dipercayai beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan kemuncaknya adalah pada Februari lalu apabila setiap hari kami perlu berhadapan dengan bunyi letupan dan gegaran kuat yang datang dari kuari berdekatan.

"Akibatnya, dinding dan lantai rumah kami retak selain berlaku pencemaran habuk pasir dan insiden batu terbang.

"Susulan daripada itu, penduduk ada membuat satu laporan polis pada 19 Februari lalu mengenai aktiviti kuari ini," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Difahamkan, persatuan penduduk di kawasan sekitar turut menulis surat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bagi memohon tindakan tegas diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab pada Julai lalu.

Menerusi surat tersebut, penduduk dari Setia Pulau Mutiara I, II dan III, serta Stramax Residences menyatakan bantahan mereka terhadap operasi kuari tersebut kerana lokasinya terlalu dekat dengan kawasan perumahan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) juga menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang (PTG) serta Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya mengkaji semula operasi kuari tersebut.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, selain itu, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga diminta untuk melihat semula permasalahan yang dialami penduduk di kawasan tersebut.

Menurutnya, aktiviti kuari yang beroperasi di Mukim 12, daerah Barat Daya itu berada amat hampir dengan beberapa kawasan perumahan yang telah menimbulkan kebimbangan kepada ribuan penduduk di situ.

"Jarak kuari dari sebahagian kawasan perumahan yang padat ini adalah kurang daripada 200 meter.

"Penduduk berhadapan dengan aktiviti pemecahan bongkah batu sehingga menyebabkan kawasan perumahan tersebut mengalami pelbagai insiden antaranya keretakan pada dinding rumah dan lantai serta habuk.

"Kejadian yang paling membahayakan adalah batu terpelanting yang menyebabkan bumbung rumah pecah," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penduduk juga bimbang dengan kehadiran lori yang membawa muatan bahan batuan kuari kerana ia boleh membahayakan pengguna jalan raya.

"Penduduk juga kerap mendengar letupan kuat yang luar biasa, dipercayai dari projek kuari batu terbabit.

"Aduan telah dibuat kepada Ketua Menteri dan mereka berharap agar operasi kuari itu dapat dihentikan segera, sama seperti kuari di Juru yang menghentikan operasinya baru-baru ini.

"Selain aduan, penduduk juga telah membuat bantahan serta mengadakan mesyuarat dengan pihak berkuasa sejak beberapa bulan lalu, namun tiada tindakan tegas diambil. Penduduk amat kesal kerana aduan mereka seperti tidak diendahkan," katanya.

Meenakshi berkata, pihaknya bimbang jika perkara itu tidak ditangani segera, keselamatan penduduk dan orang ramai akan terancam selain ia memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

"Kami difahamkan operasi kuari ini mempunyai kaitan dengan kerja tanah untuk pembangunan projek perumahan baru di kawasan itu. Ini yang menimbulkan kerisauan.

"Ini kerana, beberapa kejadian telah berlaku yang mana pembangunan di lereng bukit boleh membawa padah sekiranya berlaku gelongsoran tanah, lebih-lebih lagi ketika musim hujan lebat.

"Oleh itu, SAM menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang dan pihak berkenaan memandang serius terhadap bantahan penduduk di kawasan berdekatan. Operasi kuari yang berhampiran kawasan penempatan perlu dihentikan segera sebelum tragedi berlaku," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!