Kelantan: Mangsa banjir di PPS perlu jalani ujian saringan Covid-19
KOTA BHARU - Mangsa banjir di Kelantan yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dalam usaha mencegah penularan jangkitan itu.
Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, individu yang menjalani ujian itu akan dipantau di bilik isolasi bagi tempoh 24 jam hingga 36 jam setelah disahkan negatif.
Menurutnya, mereka yang menjalani ujian itu kemudiannya akan dibawa ke bilik kuarantin di khemah berasingan selama 14 hari.
"Bagaimanapun sekiranya didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya selepas menjawab soalan yang dikemukakan oleh Amran Arifin (BN-Paloh) mengenai perancangan dan persediaan yang telah diambil untuk mengatasi banjir musim tengkujuh.
Menurutnya, bagaimanapun bilik khas saringan awal akan disediakan di PPS terpilih bagi menempatkan mangsa banjir bergejala dari zon merah atau terdedah kepada pesakit Covid-1, manakala petugas kesihatan pula akan berada di PPS.
Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan sukarelawan pula akan melakukan sanitasi di bilik di PPS secara berkala mengikut keperluan.
Mumtaz berkata, bagi memastikan kebajikan terjaga semua mangsa banjir termasuk yang dikuarantin makanan akan dibungkus dan dihantar petugas ke khemah.
Katanya, mangsa banjir yang bebas Covid-19 akan ditempatkan di blok berasingan selain makanan juga akan dibungkus yang perlu diambil ketua keluarga dari dapur.
"Mangsa banjir di PPS juga akan diberi tanda nama dan tidak digalakkan keluar masuk dengan sewenang-wenangnya setelah mendaftar ke PPS bagi mencegah penularan sebarang penyakit.
"Pihak kami juga mewajibkan pemakaian pelitup muka serta penggunaan cecair pembasmi kuman," katanya.
Mengulas lanjut, Mumtaz berkata, seramai 5,459 anggota dan petugas yang terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pelbagai agensi akan digerakkan sebaik sahaja berlakunya banjir.
Katanya, sebanyak 3,974 aset termasuk kenderaan, jentera, bot, khemah, genset dan peralatan lain akan turut digerakkan nanti.
"Memandangkan negeri Kelantan masih dalam situasi penularan wabak Covid-19, pematuhan SOP ketika tugas-tugas menyelamat dan pemindahan mangsa dengan amalan normal baharu ketika berada di PPS akan terus ditekankan.
"Hal ini bagi mengelakkan berlakunya penularan Covid-19 dalam kalangan petugas penyelamat dan mangsa ketika kejadian banjir berlaku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!