Bantah hina Nabi: Lima masjid di Sandakan buat himpunan aman
SANDAKAN - Lima masjid di daerah ini mengadakan perhimpunan aman hari ini bagi membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW yang ditularkan di laman media sosial.
Anggota Kumpulan Al-Asyairah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), Abd Rahman Tajudin berkata perhimpunan aman itu dijalankan di Masjid Nurlayli, Masjid Daerah Sandakan, Masjid Datuk Pg Galpam, Masjid Nurussyakirin dan Masjid Al-Falah secara serentak selepas solat Jumaat.
“Lebih 300 jemaah hadir bagi membantah penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan sebagai tanda cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW sebagai manusia teragung yang wajib dihormati dan dicintai oleh setiap insan,” katanya dalam kenyataan di sini.
“Nabi Muhammad SAW adalah manusia teragung yang membawa keamanan kepada dunia keseluruhannya, malah membawa rahmat kasih sayang kepada seluruh alam,” katanya dan menambah, perhimpunan aman itu diisi dengan ucapan selawat ke atas Nabi Muhammad dan zikir beramai-ramai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!