Ahmad Zahid tak buat-buat sakit: Peguam

Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Bernama
Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] “Ahmad Zahid tak buat-buat sakit,” kata peguam, Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu di luar Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Selepas prosiding kes 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, Hamidi berkata, anak guamnya itu menanggung kesakitan penyakit tulang belakang sebelum 2019 lalu.

Susulan itu katanya, Ahmad Zahid terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah panggil doktor perjelas ketidakhadiran Ahmad Zahid

Bicara kes rasuah Ahmad Zahid bersambung 5 Julai

"Beliau (Ahmad Zahid) bukan sengaja tak nak datang, tapi sakit sebab terjatuh.

“Jadi kita mohon perbicaraan atas pertuduhan berkaitan dengan VLN ditangguhkan,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, tarikh perbicaraan yang dijadualkan sebelum ini, iaitu 1 dan 2 September depan, dikekalkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sama ada Ahmad Zahid sihat dan dapat hadir dalam prosiding hanya dapat diketahui menerusi kenyataan Pakar Perunding Sakit Intervensi, Dr Mohd Shahir Anuar dalam prosiding kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, petang ini.

Peguam, Hamidi Mohd Noh hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mewakili Ahmad Zahid bagi kes 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Peguam, Hamidi Mohd Noh hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mewakili Ahmad Zahid bagi kes 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto Sinar Harian/Rosli Talib

Semasa prosiding, Mohd Yazid membenarkan penangguhan perbicaraan pada Rabu namun menegaskan bahawa tarikh perbicaraan seterusnya berjalan sebagaimana dijadualkan.

"Kami akan melihat bagaimana keadaannya, kami tidak dapat menjangka apa-apa sekarang dan kami juga perlu mempertimbangkan tempoh pemulihan yang akan disahkan oleh doktor.

"Jadi, saya mengekalkan tarikh percubaan pada 1 dan 2 September," katanya.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, susulan ketidakhadiran Ahmad Zahid bagi prosiding kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, mahkamah akan memanggil seorang doktor pakar dari sebuah hospital swasta bagi menjelaskan keadaan kesihatan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, sepina akan dikeluarkan kepada doktor tersebut bagi mendapatkan penjelasan mengenai prosedur yang akan dijalankan terhadap Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!