PH sedia pertimbang pelawaan sertai MPN
KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) akan mempertimbangkan pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk blok tersebut menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama pada Rabu menyatakan, ia penting untuk bersama-sama menangani pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi serta bukan sekadar tangkap muat atau menjadi ‘rubber stamp’ kepada pandangan Kerajaan semata-mata.
Dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri pada Ahad lalu, Ismail Sabri menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Kenyataan itu juga menyatakan, fokus PH ini adalah untuk menjadi pembangkang yang berkesan dengan mengutarakan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab.
Pada masa sama, membentangkan cadangan-cadangan alternatif yang bersesuaian kepada dasar-dasar Kerajaan, terutama berkait usaha menangani Covid-19, menghidupkan semula ekonomi serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!