Tujuh ahli kumpulan Abu Sayyaf akan didakwa

Hazani ketika merasmikan Tadika Kemas Al-Ghazali di IPK Sabah, Kota Kinabalu.
Hazani ketika merasmikan Tadika Kemas Al-Ghazali di IPK Sabah, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tujuh ahli kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang ditahan di Pulau Timbang, Sandakan pada minggu lalu akan didakwa sebelum diekstradisi balik ke Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara itu bagaimanapun masih dalam perbincangan bersama dengan pihak berkuasa Filipina.

Menurutnya, dipercayai tujuh suspek terbabit mempunyai rakan sekutu yang lain, namun mungkin sudah melarikan diri berikutan operasi yang dijalankan.

"Kita sekarang sedang berurusan dengan pihak keselamatan Filipina, sama ada kita buat pengusiran secara khas atau dakwa dulu di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

"Tetapi yang terbaik sekarang adalah kita dakwa dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tadika Kemas Al-Ghazali di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hazani berkata, pihaknya percaya dalang kegiatan itu yang mati ditembak atau ditangkap di Beaufort dan Pulau Timbang sebelum ini merancang untuk menculik pemilik ladang di sekitar perairan pantai timur Sabah.

Namun katanya, rancangan itu terpaksa ditangguhkan buat masa ini ekoran usaha pemantauan berterusan yang dilakukan pihak berkuasa di Sabah.

"Polis amat serius untuk mematahkan segala perancangan yang dilakukan kumpulan militan Abu Sayyaf ini kerana kita tidak mahu mereka menjadikan Sabah sebagai kubu kuat atau tempat persembunyian mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan ambil tindakan yang lebih agresif termasuk mengumpul maklumat risikan dari semasa ke semasa. Usaha ini juga mendapat sokongan penuh daripada pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!