Beri masa peruncit buat permohonan kebenaran beroperasi
JOHOR BAHRU - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini perlu memberi kelonggaran kepada peruncit untuk mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi.
Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Dr Chong Fat Full berkata, mereka harus diberi tempoh masa bersesuaian, lebih fleksibel dan PBT tidak mudah mengenakan kompaun terhadap mereka.
Jelasnya, masih ada yang keliru kerana perniagaan runcit sebelum ini dibenarkan beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan PBT di negeri ini tanpa memerlukan surat kelulusan MITI.
"Baru-baru ini saya terima beberapa aduan peruncit dikenakan kompaun RM2,000 kerana tidak mengemukakan surat kelulusan MITI. Tindakan ini hanya akan membebankan peniaga yang sudah terjejas disebabkan pandemik Covid-19.
"Cara itu tak begitu tepat kerana peniaga hanya perlu membuat permohonan kepada MITI yang akan diluluskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Peringkat Negeri Johor di Nong Chik di sini pada Selasa.
Pada bulan lalu perniagaan runcit dan pasar yang dibenarkan beroperasi oleh MKN dan PBT di negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak memerlukan surat kelulusan kementerian terbabit.
Fat Full berkata, selain itu terdapat peruncit yang tidak tahu menggunakan sistem sedia ada dan perlukan masa untuk membuat permohonan.
Katanya, peruncit perlu membuat permohonan dalam laman sesawang MITI serta memuat naik maklumat vaksinasi pekerja di sistem CIMS 3.0 kerana kapasiti pengoperasian bergantung kepada kadar vaksinasi lengkap pekerja.
Beliau juga memaklumkan sudah berhubung dengan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil dan Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berhubung perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!