Lans Koperal minta suapan didenda RM1,800
SHAH ALAM – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dijatuhi hukuman denda RM1,800 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu atas kesalahan cubaan mendapat suapan RM5,000, bagi melepaskan empat lelaki yang dikatakan memiliki air ketum, dua tahun lalu.
Mohamad Fisha Ani, 33, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Rozilah Salleh.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Sebelum memberi keputusan, Rozilah menasihati tertuduh supaya bermuhasabah diri dan meminta keampunan.
“Selaku anggota polis, anda pasti berurusan dengan orang ramai termasuk penjenayah. Apabila disua dengan duit walau RM1, anda sepatutnya amanah.
“Anda ada keluarga dan orang tua untuk dipelihara, berazamlah supaya tidak terlibat jenayah, biar gaji sikit tetapi berkat,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang Lans Koperal yang bertugas di salah sebuah balai polis di sini, cuba untuk mendapat wang tunai sebanyak RM5,000 daripada seorang lelaki dengan balasan melepaskan empat lelaki lain yang dikatakan memiliki air ketum.
Ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 yang diketahui mempunyai perhubungan dengan tugas-tugas rasminya sebagai seorang penjawat awam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Pasir, Pekan Kerling di sini pada jam 1.20 pagi, 16 September 2019.
Berdasarkan fakta kes, sehari sebelum kejadian, empat lelaki menaiki kereta Perodua Myvi ke lokasi perkhemahan di Kalumpang, di sini ditahan oleh tertuduh dan seorang lagi anggota polis.
Hasil pemeriksaan dalam kenderaan menemui sebotol air yang mencurigakan di belakang tempat duduk pemandu.
Tertuduh memanggil salah seorang pemuda dalam kereta Perodua Myvi itu untuk berbincang dan memberi ‘hint’ dengan berkata ‘gentle nak bagi berapa’.
Setelah berbincang tertuduh meminta RM5,000 untuk setiap lelaki iaitu jumlah keseluruhan adalah RM20,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norsyusriza Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam, Thavanniswaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!