Sambutan Hari Kebangsaan di NS diadakan secara tertutup
SEREMBAN - Sambutan Hari Kebangsaan 2021 peringkat negeri akan diadakan secara tertutup dengan jemputan terhad kepada 60 orang sahaja, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sambutan itu hanya membabitkan orang kenamaan, pemimpin negeri dan ketua jabatan serta petugas barisan hadapan menangani Covid-19.
"Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud akan berangkat mencemar duli pada majlis berkenaan.
"Selain itu, yang akan turut hadir termasuklah Datuk Syahbandar, Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta pegawai tertentu.
"Sambutan ini diadakan secara tertutup dan ringkas sahaja, membabitkan acara nyanyian lagu Negaraku, bacaan ikrar Rukun Negara serta doa tanpa perarakan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco secara webinar di sini, pada Rabu.
Tambahnya, sambutan ringkas tersebut akan diadakan di pekarangan Wisma Negeri.
Sementara itu, Aminuddin turut memberitahu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai terlibat akan menjalani saringan Covid-19 pada 31 Ogos sebelum mereka dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 3 September ini.
Katanya, ujian saringan tersebut penting bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar sihat dibenarkan masuk ke dalam dewan persidangan.
Persidangan DUN Negeri Sembilan tetap akan berjalan seperti yang dijadualkan pada 3 September hingga 8 September ini meskipun terdapat perubahan di peringkat kerajaan Persekutuan.
Persidangan akan dilakukan secara bersemuka bersama semua ahli dewan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!