GWGF bakal hantar memorandum kepada PM
SHAH ALAM - Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) akan menghantar memorandum yang mengandungi penambahbaikan kepada Perjanjian Penghapusan Pinjaman dan Pengurusan Kebun antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan peneroka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada minggu hadapan.
Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail berkata, keputusan tersebut dibuat ketika mesyuarat secara maya bersama 14 badan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai peneroka profesional dan separa profesional di Wisma Rozali, Seksyen 13, di sini pada Rabu.
Menurutnya, pihak peneroka menyambut baik inisiatif kerajaan untuk menghapuskan hutang majoriti peneroka Felda yang berjumlah RM8.3 bilion yang dikira hingga Disember 2019.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa perkara dalam perjanjian tersebut yang perlu ditambah baik bagi melindungi hak peneroka Felda.
“Jumlah hapus kira hutang peneroka mencapai sehingga 70 hingga 80 peratus dan mereka masih perlu membayar baki hutang kepada Felda sekitar 10 peratus.
“Ramai peneroka menandatangani perjanjian, namun kita mendapati banyak terma dan syarat-syarat yang perlu ditambah dalam perjanjian ini.
“Kita berbincang secara terperinci dan bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri berkaitan cadangan untuk tambah baik perjanjian bagi menjaga kepentingan peneroka,” katanya pada sidang akhbar setelah mesyuarat tersebut pada Rabu.
Dalam pada itu, Rozali berkata, pihaknya juga akan menghantar surat kepada Felda sementara menunggu jawapan daripada Perdana Menteri, untuk menangguhkan penandatanganan perjanjian dan pelaksanaan skim potongan hutang berkenaan sehingga mendapat penyelesaian yang memelihara hak serta kepentingan peneroka.
Ujarnya, antara cadangan penambahbaikan dalam perjanjian tersebut adalah memohon pihak Felda untuk mengemukakan penyata hutang berserta perincian hutang kepada peneroka setiap tiga bulan yang telah diaudit oleh juruaudit bertauliah.
“Antara masalah yang sering menjadi punca perbalahan antara pihak Felda dan peneroka ialah kegagalan Felda untuk memberikan perincian hutang dalam penyata yang diberikan.
“Kita tak mahu isu lama ini berlarutan, jadi Felda mesti memberikan penyata hutang setiap tiga bulan kepada peneroka yang diaudit oleh auditor bertauliah mengikut piawaian yang standard di Malaysia sebagai pendekatan baharu dalam pengurusan ladang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!