Bekas TYT Sabah dirawat di ICU kerana Covid-19
KOTA KINABALU - Bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai sedang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Gleneagles akibat dijangkiti Covid-19.
Perkara itu disahkan oleh anaknya, Datuk Seri Nasir Sakaran melalui satu rakaman video berdurasi dua minit 34 saat bagi menjelaskan keadaan kesihatan Tun Sakaran.
Nasir berkata, ayahnya telah dimasukkan ke hospital itu pada Rabu lalu selepas disyaki dijangkiti Covid-19.
"Keadaan ayahanda Tun adalah stabil ketika dimasukkan dan baru semalam (Selasa) beliau dimasukkan ke ICU. Setakat ini, kami berhubung dengan ayahanda Tun seperti biasa melalui panggilan video.
"Alhamdulillah respon ayahanda Tun, beliau dalam keadaan yang baik dan baru sebentar tadi saya dapat panggilan video ayahanda Tun, beliau menyatakan mohon doa kesihatan beliau. Insya-ALLAH akan lebih bertambah baik," katanya.
Sehubungan itu, Nasir berharap ayahnya sembuh seperti sediakala.
Sakaran yang berusia 91 tahun menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah kelapan dari 1995 hingga 2002 dan Ketua Menteri Sabah pada Mac 1994 hingga Disember 1994.
Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Semporna pada 1986 hingga 1995 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang mewakili USNO dan kemudian UMNO sebelum bersara daripada politik apabila dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!