Teka-teki siapa ganti Stuart di FAM belum terjawab
STATUS berhubung Setiausaha Agung baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantikan Stuart Ramalingam, terus menjadi tanda tanya.
Stuart, 44, yang sah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bermula 1 September ini berkata, beliau masih belum bersemuka dengan mana-mana individu yang akan dipilih mengisi kekosongan posisi, yang bakal ditinggalkan beliau.
Namun, Stuart menjelaskan beliau sudah menyediakan segala diperlukan termasuk nota serah tugas, selain mengadakan mesyuarat terakhirnya bersama kumpulan pekerja FAM, untuk memastikan peralihan tugas berjalan dengan lancar.
“Kelulusan, bajet dan garis masa telah disediakan untuk memastikan ‘on boarding’ setiausaha agung baharu, di landasan yang terbaik untuk beliau mengambil tugas dan ‘catch up’ dengan 21 jawatankuasa dan 24 unit yang ada dalam FAM.
“Semua itu untuk membantu beliau memahami status semasa unit dan jawatankuasa, selain itu terdapat juga beberapa perkara belum selesai yang menunggu keputusan, yang memerlukan perhatian segera,” katanya pada sidang media secara dalam talian pada Rabu.
Stuart diumumkan secara rasmi sebagai CEO baharu MFL pada Isnin lepas sekali gus menamatkan spekulasi kekosongan ditinggalkan Datuk Ab Ghani Hassan, yang dilantik sebagai Presiden baharu MFL menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin yang melepaskan jawatan.
Difahamkan bekas penolong setiausaha agung FAM dari 2007 hingga 2009 Mohd Saifuddin Abu Bakar, 61, yang juga bekas Penolong Ketua Bahagian Pertandingan Qatar Stars League dan Perunding Teknikal Liga Profesional Oman, menjadi pilihan utama untuk menggantikan Stuart.
Menurut Artikel 63 Perenggan 1 Statut FAM, Setiausaha Agung hendaklah dilantik oleh Presiden atas nasihat Jawatankuasa Eksekutif.
“Sokongan yang telah diberikan kepada saya, saya harap semua staf akan berikan kepada setiausaha agung baharu yang akan datang nanti,” kata Stuart yang memuji budaya kerja serta hubungan kekeluargaan yang wujud di FAM. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!