Bantuan kewangan penting untuk penuhi keperluan rakyat Afghanistan

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bantuan kewangan oleh masyarakat global amat diperlukan untuk membantu rakyat Afghanistan, terutamanya sepanjang krisis yang melanda negara itu ketika ini.

Ketua Perwakilan Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) untuk Afghanistan, Necephor Mghendi berkata, sokongan antarabangsa yang mencukupi melalui penyaluran dana amat diperlukan untuk memenuhi keperluan rakyat Afghanistan yang terjejas, yang jumlahnya meningkat dengan ketara.

"Bantuan kewangan penting kerana ia diperlukan untuk membolehkan bantuan lain seperti bekalan keperluan, peralatan, ubat-ubatan dan banyak lagi dapat disalurkan.

"Afghanistan, yang sehingga kini masih dilanda kemarau, bencana, kes Covid-19, krisis kesihatan berpanjangan termasuk keselamatan makanan dan kekurangan zat makanan akibat konflik, serta masalah perpindahan penduduk, sekarang perlukan lebih banyak bantuan berbanding sebelum ini.

“Melihat kombinasi (faktor) ini, hampir separuh penduduk Afghanistan memerlukan bantuan kemanusiaan yang mendesak. Keupayaan kita untuk menyampaikan bantuan sangat bergantung kepada sumber kewangan. Jadi, jika tidak dapat sumber mencukupi, kita tidak dapat hulurkan bantuan.

"Ini bukan hanya cabaran bagi kami (IFRC), tetapi juga komuniti yang terbabit dengan kerja-kerja kemanusiaan," kata Mghendi ketika ditemu bual melalui Google Meet dengan Bernama pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Bank Dunia gantung bantuan kewangan kepada Afghanistan

Baru-baru ini, IFRC telah memohon 15 juta franc Swiss (AS$16.39 juta) untuk menyokong Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan (ARCS) mendapatkan geran tunai bagi membeli bekalan makanan dan membantu meringankan beban 280,000 penduduk di 13 wilayah yang paling teruk terjejas akibat kemarau.

Artikel Berkaitan:

Mghedi berkata, IFRC telah bekerjasama dengan ARCS sejak bertahun-tahun dan terus bergerak aktif membantu rakyat Afghanistan termasuk wanita dan kanak-kanak.

"Terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk membantu wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya kerana mereka adalah golongan yang paling terjejas dalam mana-mana situasi krisis atau bencana.

"ARCS, rakan utama kami di Afghanistan mengendalikan lebih 140 pasukan perubatan (termasuk pasukan bergerak) dan kami (IFRC) menyokong mereka dengan memberikan perkhidmatan dan bantuan.

"Pasukan ini telah menjangkau lebih 100,000 orang setiap bulan dan mereka meneruskan fungsi itu. Kami menyokong logistik dan semuanya bergerak dan berfungsi," katanya.

ARCS mempunyai sekitar 2,000 kakitangan dan 30,000 sukarelawan, dan IFRC menyokong ARCS melalui pasukan kecil yang terdiri daripada 40 kakitangan yang kebanyakannya adalah warga Afghanistan.

Ketika ditanya apakah rancangan masa depan IFRC jika keadaan semasa berpanjangan, Mghedi berkata, keselamatan serta kesejahteraan kakitangan dan sukarelawan tetap menjadi keutamaan.

"Keselamatan kakitangan dan sukarelawan kami sangat penting. Selain, melihat keadaan semasa, kita perlu tambah lebih ramai petugas dalam waktu terdekat untuk pastikan kita mampu beri perkhidmatan dan terus membantu mereka yang memerlukan.

"Kami akan pastikan sebelum menghantar petugas ke mana-mana kawasan, keselamatan mereka adalah terjamin. Setakat kini, kami mendapat jaminan kakitangan kami tidak akan disasarkan dan dicederakan,” katanya.

Menurut laporan media, ribuan orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul, ibu negara Afghanistan, dengan harapan akan dibawa keluar selepas Taliban menguasai negara itu.

Meskipun Taliban telah mengumumkan pengampunan, rakyat Afghanistan yang bekerja dengan kerajaan atau organisasi asing bimbang akan keselamatan mereka.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian damai yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Taliban pada Februari 2020, tentera asing perlu berundur dari Afghanistan. Tarikh akhir untuk AS mengundurkan tenteranya adalah pada 31 Ogos. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!