IJN pertama di Asia lakukan rawatan injap jantung inovatif

Institut Jantung Negara
Institut Jantung Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institut Jantung Negara (IJN) mencipta satu lagi kejayaan apabila menjadi hospital pertama di Asia berjaya melakukan inovatif baharu dalam rawatan injap jantung bagi pesakit yang menderita injap jantung bocor (trikuspid regurgitasi).

IJN dalam kenyataan hari ini memberitahu, prosedur tersebut dijalankan oleh anggota Unit Kegagalan Jantung dan Pemindahan Jantung serta Jabatan Kardiologi pada 6 Mei lalu.

Rawatan dengan prosedur invasif minimum itu melibatkan penggunaan sistem penghantaran pramuat injap kering, yang disebut sistem Tricvalve Transcatheter Bicaval Valves (Bioprosthesis), menurut kenyataan itu.

“Peranti sistem Tricvalve dan bioprosthesis ini dibangunkan khusus untuk pesakit yang mengalami trikuspid regurgitasi teruk terutama mereka yang tidak dapat mengawal simptom melalui rawatan lain dan berisiko tinggi untuk pembedahan jantung terbuka,” kata IJN.

Trikuspid regurgitasi adalah keadaan injap trikuspid tidak dapat berfungsi dengan baik dan mengakibatkan darah mengalir ke belakang di sebelah kanan jantung dan dalam keadaan teruk ia mengalir ke kava. Jika tidak dirawat ia boleh membawa kepada kegagalan jantung, kata IJN.

“Pesakit mungkin mengalami simptom seperti penat, susah bernafas, denyutan jantung yang luar biasa, bengkak kaki dan bahagian abdomen. Bagaimanapun, tanda-tanda ini sering tidak menonjol sehingga keadaan menjadi teruk,” menurut kenyataan itu.

Pengarah Klinikal Kegagalan Jantung dan Pemindahan Jantung, IJN, Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi menjelaskan, tidak semua pesakit mampu melalui risiko pembedahan atau mungkin mempunyai komorbiditi dengan penyakit tertentu yang menjadikan mereka tidak sesuai untuk rawatan prosedur tertentu.

“Bagi kes sedemikian, adalah penting untuk kami menawarkan rawatan inovatif baharu seperti tricvalve bagi membantu lebih ramai pesakit mengurangkan simptom dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Klinikal dan Perunding Kanan Kardiologi, IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim mengucapkan setinggi penghargaan kepada pasukan IJN kerana meneroka kaedah rawatan yang lebih baharu dan inovatif.

“Bukan rahsia lagi bahwa kejayaan IJN dibina atas kesediaan petugasnya untuk terus menimba ilmu, meneroka rawatan inovatif yang boleh meningkatkan kualiti hidup pesakit serta berusaha ke tahap yang lebih tinggi supaya dapat merawat lebih ramai pesakit yang dianggap tidak sesuai menjalani pembedahan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!