Pusat Pelancongan di Perlis tidak diurus dengan cekap: Audit
KANGAR - Pengurusan lima pusat pelancongan di Perlis tidak diurus dengan cekap oleh tiga jabatan yang terlibat secara langsung dalam mengurus dan menyenggara pusat pelancongan berkenaan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 yang dikeluarkan di sini pada Rabu.
Pengauditan itu dilaksanakan ke atas tiga jabatan iaitu Jabatan Pertanian Negeri Perlis (JPNP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis (JPV) dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPH) yang menguruskan Taman Anggur Perlis, Pusat Ekuin Perlis, Rimba Herba Perlis, Chalet Bukit Ayer Fasa I hingga III serta Pusat Rawatan Alternatif dan Spa.
“Sehingga Disember 2019, objektif penubuhan yang ditetapkan bagi lima pusat pelancongan yang dibangunkan tidak dapat dicapai sepenuhnya dan hanya tiga daripada keseluruhan 12 objektif yang ditetapkan berjaya dicapai.
“Bagi tempoh yang sama, sejumlah RM89,180 telah dijana dan hanya menyumbang sebanyak 0.02 peratus kepada hasil kerajaan negeri,” menurut laporan itu.
Sehingga 31 Disember, dianggarkan berlaku pembaziran berjumlah RM17.24 juta akibat projek pembangunan yang tidak beroperasi dan terbiar iaitu Pusat Ekuin Perlis, Chalet Bukit Ayer Fasa I hingga III serta Pusat Rawatan Alternatif dan Spa.
Laporan audit juga mendapati sasaran kedatangan pengunjung tidak ditetapkan oleh tiga jabatan terlibat, hanya dua pusat pelancongan yang menyelenggara kedatangan pelancong dari 2017 hingga 2019 iaitu Taman Anggur Perlis dan Herba Rimba Perlis.
Menurut laporan itu, sumbangan hasil yang dijana oleh empat pusat pelancongan bagi tempoh sama hanya sebanyak RM89,180 atau 0.02 peratus daripada keseluruhan pendapatan hasil kerajaan negeri.
Analisis pulangan hasil atas perbelanjaan yang dikeluarkan bagi tempoh tiga tahun adalah sebanyak 0.036 kali dengan janaan hasil sebanyak RM89,180 berbanding perbelanjaan sebanyak RM2.45 juta.
Penemuan audit juga mendapati aktiviti promosi pusat pelancongan tidak dilaksanakan dengan baik menyebabkan tidak ramai yang mengetahui kewujudan pusat pelancongan yang diaudit.
“Hasil soal selidik menunjukkan secara purata lebih 70 peratus daripada 434 responden menyatakan mereka tidak pernah mengunjungi dan tidak mengetahui tentang kewujudan kelima-lima pusat pelancongan ini.
“Kegagalan pengurusan oleh pengendali dalam menguruskan tiga pusat pelancongan iaitu Taman Anggur negeri Perlis, Chalet Bukit Ayer Fasa I hingga III dan Pusat Rawatan Alternatif dan Spa mengakibatkan pembaziran, kerugian dan kerosakan pada pusat pelancongan dan terdapat kelemahan dalam pengurusan dan penyenggaraan aset yang terdapat di pusat pelancongan berkenaan,” menurut laporan itu.
Sehubungan itu, laporan audit mengesyorkan tiga cadangan utama bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan iaitu jabatan tersebut perlu meningkatkan aspek pemantauan dan penyeliaan secara berterusan terhadap kerja yang dilaksanakan oleh kakitangan pelaksana, kontraktor dan vendor.
Bagi aktiviti operasi yang tertakluk kepada peruntukan undang-undang pula, aspek penguatkuasaan perlu diberi penekanan untuk meningkatkan tahap pematuhan.
Jabatan negeri yang terlibat bukan sahaja perlu mengambil tindakan selepas mendapat teguran daripada pihak audit, malah perlu bertindak dengan cepat sebaik sahaja masalah atau kelemahan itu dikenal pasti. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!