TDM timbang serap kembali anggota dipecat jika terima vaksin
KUALA LUMPUR - Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dipecat kerana menolak vaksin Covid-19 akan dipertimbangkan untuk diserap semula jika dia bersedia menerima suntikan vaksin itu, kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Beliau berkata, namun keputusan memberhentikan anggota berkenaan masih kekal setakat ini.
Zamrose berkata, anggota tentera berkenaan sebelum ini telah menjalani empat sesi kaunseling selepas dia enggan menerima suntikan vaksin dan keputusannya masih sama iaitu tidak mahu menerima suntikan vaksin.
"TDM akan pertimbangkan (serap semula bertugas) jika dia mahu menerima suntikan vaksin dan saya yakin pegawai pemerintah mengambil tindakan sewajarnya.
"Segala apa yang patut anggota itu dapat kita akan serahkan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kempen Tabung Pahlawan 2020 (Matching Grant) kepada 83 persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM, di sini, pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota TDM tolak vaksin boleh dikenakan tindakan tatatertib
Zamrose berkata, TDM mempunyai 86,000 anggota dan tidak mahu sebarang implikasi berlaku terhadap anggota lain yang bekerja dalam pasukan.
"TDM merasakan dia tidak sesuai dengan tentera darat kerana TDM bekerja dalam kumpulan dan TDM tidak mahu sebarang implikasi kepada anggota lain kerana dia seorang sahaja yang tidak mahu menerima vaksin," katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang tentera berpangkat Sarjan dipecat kerana menolak vaksin Covid-19 dan menyebabkan dia kehilangan kelayakan untuk menerima skim pencen. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!