Movak DUN Jeram Padang sasar 2,000 penerima vaksin

Manickam (lima dari kanan) ketika meninjau salah satu PPV Bergerak di DUN Jeram Padang pada Rabu.
Manickam (lima dari kanan) ketika meninjau salah satu PPV Bergerak di DUN Jeram Padang pada Rabu.
A
A
A

JEMPOL - Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang menyediakan kemudahan pemberian vaksin Covid-19 kepada 2,000 penduduk di kawasan terbabit termasuk 12 ladang secara berperingkat selama enam hari bermula Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L Manickam berkata, program yang julung kali diadakan di kawasan ladang itu memudahkan akses sebahagian daripada mereka yang tinggal berjauhan dari lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada yang jaraknya mencecah 20 kilometer.

"Daripada jumlah tersebut seramai 510 pekerja ladang selesai menerima vaksin masing-masing melalui PPV Bergerak di empat buah ladang melibatkan Ladang Kok Foh, Ladang Kelpin, Ladang New Rompin dan Ladang Bukit Pilah.

"Lebih 100 pekerja lagi akan menerima vaksin sama pada Khamis di PPV Bergerak yang akan berlangsung di pekarangan Petronas Pekan Rompin yang turut membabitkan penduduk sekitar di DUN Jeram Padang," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Suasana di salah sebuah PPV Bergerak yang berlangsung di DUN Jeram Padang.
Suasana di salah sebuah PPV Bergerak yang berlangsung di DUN Jeram Padang.

Bagaimanapun Manickam menegaskan, program tersebut bukan merupakan pemberian vaksin secara 'walk in' sebaliknya sudah mempunyai senarai nama penerima bagi mengelakkan kesesakan di PPV.

"Orang ramai juga diingatkan agar tidak memberi alasan remeh untuk tidak hadir ke PPV ini kerana ia akan menimbulkan kesulitan kepada pihak lain.

"Mereka yang sudah menerima suntikan vaksin perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka apabila keluar rumah serta mengamalkan penjarakan fizikal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!