Kibar Jalur Gemilang, hilangkan tekanan pandemik
PETALING JAYA - Penghuni Pangsapuri Ixora di Kota Damansara, di sini menggantung Jalur Gemilang sebagai persediaan menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia hujung Ogos ini.
Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Ixora, Hamdan Isaapandi berkata, acara menghias blok-blok kediaman sebanyak 160 unit dengan Jalur Gemilang diadakan setiap tahun, namun pelaksanaannya sedikit berbeza kali ini memandangkan Covid-19 melanda negara.
Menurutnya, penghuni merancang untuk menggantung Jalur Gemilang di blok kediaman sejak bulan lalu dengan mengutip dana dalam kalangan mereka, malah ada juga yang mencari penaja untuk mencantikkan blok.
Hamdan berkata, penghuni mula menghiaskan blok mereka sejak awal Ogos dan proses tersebut masih berlangsung sehingga kini dan bendera tersebut akan terus berkibar hingga Hari Malaysia.
"Sebelum ini, kami anjurkan pelbagai aktiviti sempena Bulan Kemerdekaan seperti pertandingan mewarna, sukaneka untuk kanak-kanak dan menghias blok dengan gantungan Jalur Gemilang secara gotong-royong.
"Namun disebabkan pandemik Covid-19, semua itu tidak dapat dijalankan, jadi kami hanya menghias blok dengan Jalur Gemilang untuk menceriakan suasana pangsapuri," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, Hamdan berkata, aktiviti sebegini bukan sahaja menimbulkan semangat patriotik, tapi ia juga sebahagian daripada cara mengurangkan tekanan akibat pandemik Covid-19 yang dialami oleh penghuni di sini.
Ujarnya, aktiviti menghias blok bukan satu pertandingan, tapi ia merupakan satu tradisi yang mereka lakukan setiap tahun ketika memasuki bulan Ogos.
"Memang ada beberapa kes Covid-19 dalam kalangan penghuni, tapi aktiviti yang kita lakukan ini sedikit sebanyak mampu memberi semangat dan menceriakan keadaan supaya mereka tidak tertekan.
"Pihak JMB Pangsapuri Ixora juga bertindak sebagai penasihat dan memantau aktiviti tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!