Cikgu Jamal simpan salinan kemerdekaan negara pada 1957
PEMILIK Galeri Anatik Astana Wajo di sini rasa bangga kerana masih memiliki salinan Pemasyhuran Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Jamal Ahmad, 56, yang juga bekas guru berkata, salinan Pemasyhuran Kemerdekaan itu menjadi salah satu koleksi paling bernilai yang dipamerkan di galerinya untuk tatapan umum.
Menurutnya, salinan Pemasyhuran Kemerdekaan yang ditulis dengan tulisan jawi itu memaparkan pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu melibatkan Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak serta Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka.
“Saya sangat sayang dengan koleksi salinan Pemasyhuran Kemerdekaan ini dan saya telah bingkaikan agar ia lebih terjaga.
“Ramai tertarik dan merakam gambar salinan terbabit selain ada juga yang ingin membelinya, namun saya tidak akan menjualnya.
“Generasi akan datang perlu tahu tentang dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan yang ditandatangani Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ini,” katanya ketika ditemui di galerinya di Serkat, di sini.
Menceritakan dengan lebih lanjut mengenai salinan Pemasyhuran Kemerdekaan itu, beliau yang lebih mesra disapa Cikgu Jamal berkata, salinan itu dibeli daripada seorang pengumpul barangan antik di Kuala Lumpur kira-kira 10 tahun lalu.
Katanya, beliau tidak menyangka salinan Pemasyhuran Kemerdekaan itu kini mampu mencecah RM50,000.
“Saya difahamkan salinan Pemasyhuran Kemerdekaan ini tidak banyak dikeluarkan dan hanya diedarkan kepada penghulu dan ketua kampung sahaja ketika itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Cikgu Jamal berkata, selain salinan Pemasyhuran Kemerdekaan, beliau juga mempunyai 100 koleksi sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 seperti gelas, cawan, pinggan, majalah dan sampul surat hari pertama.
Katanya, surat khabar Malaya Merdeka yang diterbitkan pada 31 Ogos 1957 selain cenderamata Hari Kemerdekaan masih disimpan sehingga kini.
“Saya ada lebih 36 gelas wajah Tunku Abdul Rahman dan perkataan Merdeka 1957. Kalau zaman dahulu surat dianggap cukup penting dan saya memiliki lebih 50 sampul surat pertama tarikh bersejarah itu,” ujarnya.
Sementara itu, Cikgu Jamal berkata, beliau tertarik dengan barangan antik sejak berusia 16 tahun dan bermula dengan mengumpul duit siling lama sebelum perlahan-lahan menambah koleksi barangan antiknya.
Katanya, disebabkan hobinya itu juga beliau sering bertemu dengan pengumpul barangan lama di Singapura, Indonesia dan Thailand.
“Saya juga tak sangka akhirnya dapat kumpul banyak barangan antik dan membuka sebuah galeri sendiri.
“Kini galeri saya mempunyai lebih 500 barangan antik terdiri daripada pelbagai barangan seperti pinggan mangkuk, perhiasan, pakaian, model motosikal, kereta permainan yang dibuat daripada besi, bekas tin Milo dan susu,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!