Gelandangan itu bapa ku....
HONOLULU- HAWAII. Tidak terdetik untuk bertemu bapanya setelah 25 tahun berpisah, namun takdir menentukan segalanya.
Itu kisah pertemuan tanpa diduga bahkan bukan secara kebetulan, Diana Kim, 30, seorang jurufoto Korea-Amerika bertemu insan tersayang yang juga seorang gelandangan di Maui Hawaii.
Diana meminati bidang fotografi sejak zaman kolej membuatkan dia menjadikan minat itu sebagai kerjayanya.
Mewarisi minat itu dari bapanya yang juga jurufoto, kata Diana, bapanya adalah orang bertanggungjawab menjadikan dia seperti sekarang.
Ketika zaman remaja, Diana dan ibunya mengharungi masa sukar selepas perceraian hingga terpaksa tinggal di rumah saudara mara dan rakan-rakan.
Lebih menyedihkan, dua beranak itu pernah tinggal di taman atau bermalam di dalam kereta.
"Dulu kami hidup susah, pengalaman yang mengajar saya untuk bersyukur dan membuatkan saya terus tabah, kuat untuk harungi hidup ini," katanya berpisah dengan bapanya ketika usia lima tahun selepas proses perceraian kedua orang tuanya.
Selepas menjejakkan kaki ke kolej pada 2003, Diana mula merakam foto kehidupan masyarakat termasuk gelandangan adalah subjek utama dalam fotografinya.
"Memilih subjek gelandangan kerana saya rasa saya dapat memahami kesakitan mereka dari sudut tertentu.
"Saya tahu apa maksud ditinggalkan dan dilupakan... Saya pernah merasai kesakitan itu dari kehidupan yang tidak stabil termasuk kekangan kewangan. Merempat di mana-mana sahaja," katanya.
Begitu juga dengan kehidupan gelandangan, mereka memilik sejarah hidup tersendiri.
Katanya, ketika penggambaran di Honolulu pada 2012, hidupnya berubah 360 darjah.
Dia seakan-akan melihat bapanya di hujung jalan.
Katanya, lelaki itu tidak mengenalinya sebaliknya dia masih kenal susuk tubuh bapanya walaupun terpisah sejak 25 tahun lalu.
"Saya berjalan ke arah lelaki itu dan tertanya-tanya benarkah dia lelaki yang dicari selama ini.
"Bapa sangat kurus dari sebelum ini, keadaan dirinya kotor dan tidak terurus malah menghidapi penyakit skizofrenia yang teruk.
"Saya memanggilnya 'bapa'. Bapa saya tidak menjawab bahkan tidak mahu melihat saya. Jadi saya berdiri di hadapannya cuba menarik perhatiannya, menunggu reaksi untuk mengenali saya," katanya.
Menurutnya, dek penyakit skizofrenia dialami bapanya, dia tidak menerima sebarang tindak balas dan orang sekeliling melarang Diana bertemu bapanya.
Tidak kenal erti putus asa, Diana tetap bertemu bapanya setiap hari hingga berjaya menyakinkan untuk dibawa pulang ke rumah.
Pada 2014, bapanya mengalami serangan jantung dan perlu menjalani rawatan di hospital.
Bermula saat itu, kesihatan bapanya bertambah baik.
"Syukurlah, keadaan bapa bertambah bagus dan pulang ke kampung halaman kami di Korea Selatan bagi mengunjungi sanak saudara. Kehidupannya semakin normal.
"Sememangnya pertemuan tidak disangka itu adalah hadiah terindah dalam hidup saya," katanya. - Goodtimes
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!