Empat sekawan didakwa bunuh rakan
KULAI- Seorang wanita dan tiga rakan lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki yang juga rakan mereka.
Tertuduh, Mohd Hafize Mohammad Kassim, 36, Noorhaszieda Hassan, 32, Awalludin Abdul Hamid, 54, dan Tan Wei Cong, 25, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama menyebabkan kematian dengan niat ke atas seorang lelaki berusia 46 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di Taman Tan Yoke Fong antara jam 7 pagi hingga 9.45 malam pada 16 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Adelynn Wong manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 5 Oktober depan sementara menunggu laporan bedah siasat dan tiada jaminan diberi kepada kesemua tertuduh.
Media pada 16 Ogos lalu melaporkan, Noorhaszieda mendakwa mangsa memasuki rumahnya di Taman Tan Yoke Fong ketika dia sedang tidur pada jam 8.30 pagi sebelum wanita itu menghubungi rakannya.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, lelaki itu mengalami kecederaan parah akibat dipukul dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada jam 9.45 malam hari yang sama.
"Siasatan awal terhadap wanita berkenaan mendapati kejadian itu berpunca kerana isu hutang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!