Pengalaman pisahkan Chao Ming, Stacey
HASRAT pemain ping pong para negara, Chee Chao Ming untuk melakar kemenangan sulung di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 belum kesampaian apabila tewas kepada pemain Great Britain, Joshua Stacey.
Pada aksi kumpulan C yang juga kumpulan maut itu, Chao Ming terpaksa akur pengalaman memihak Stacey yang memenangi perlawanan tersebut 11-6, 11-8, 11-9 dalam masa 22 minit.
Chao Ming ketika menyingkap tirai peringkat kumpulan pada Rabu juga dijinakkan oleh pemain Itali, Mohamed Kalem.
Atlet berusia 24 tahun itu tewas 6-11, 7-11, 4-11 kepada pemenang pingat gangsa di Paralimpik Rio 2016 tersebut.
Petang ini Chao Ming bakal melabuh tirai kempen kumpulan menentang pemain Australia, Ma Lin yang juga pemenang empat pingat emas Paralimpik.
Untuk rekod, pemenang pingat gangsa Sukan Para ASEAN 2017 dan Para Asia 2018 itu sebelum ini meletakkan sasaran mara ke suku akhir pada Paralimpik Tokyo 2020 kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!