Kabinet baharu perlu bebas kes rasuah, berkelayakan: Gabung
SHAH ALAM - Gabungan Melayu (Gabung) yang terdiri daripada lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong titah Yang di-Pertuan Agong yang bukan sahaja mahukan kabinet baharu berkelayakan tinggi dan berpengalaman luas, tetapi berakhlak mulia, bebas daripada kes rasuah malah prihatin terhadap kebajikan rakyat dan negara.
Koordinator Gabung, Ahmad Yazid Othman berkata, kerajaan tidak akan dapat mentadbir dengan baik sekiranya pemimpin terus dibayangi skandal, dihantui salah laku, kebobrokan akhlak serta ketandusan idea segar dan tindakan yang berwibawa.
“Justeru, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu serta-merta menggerakkan jentera pemulihan ekonomi pasca imuniti kelompok bagi menangani ketidaksamarataan ekonomi rentas wilayah.
“Selain itu, beliau juga perlu memperbaiki nasib golongan rentan dengan memperkenalkan solusi-solusi yang lebih pro-rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Berkenaan pelantikan Timbalan Perdana Perdana dan pembentukan kabinet, Ahmad Yazid berkata, ia bukanlah satu keutamaan yang akan memberi impak kepada rakyat.
Menurutnya, apa yang penting adalah menyediakan pasukan kabinet yang optimum dalam menangani krisis kesihatan dan ekonomi.
“Ini kerana ia dapat memberikan satu mesej yang lebih positif di mata rakyat kerana kebanyakan sudah meluat dengan naratif politik yang membinasakan,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Yazid berkata, Gabung akan terus konsisten untuk menyarankan agar Majlis Khas Pemulihan Krisis Negara (Pulih) ditubuhkan terlebih dahulu sebelum kabinet dibentuk.
“Pulih boleh dipantau oleh sebuah majlis penasihat yang dianggotai semua parti politik dalam Dewan Rakyat untuk satu tempoh terhad.
“Ia juga secara tidak langsung dapat memberi ruang dan masa yang lebih kepada Perdana Menteri untuk membentuk kabinet beliau,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!