Penjual sup didakwa buat laporan palsu diperas ugut tiga polis

Muhammad Amar Zaid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis atas tuduhan membuat laporan palsu bahawa dia diperas tiga anggota polis, Jun lalu. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Muhammad Amar Zaid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis atas tuduhan membuat laporan palsu bahawa dia diperas tiga anggota polis, Jun lalu. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penjual sup mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan membuat laporan palsu diperas ugut tiga anggota polis pada Jun lalu.

Muhammad Amar Zaid Muhammad Amir Lim, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah memberi maklumat dalam laporan polis yang diketahui sebagai palsu kepada seorang penjawat awam iaitu Lans Koperal Nuratikah Kafly.

Kesalahan didakwa dilakukan di Balai Polis Sentul pada jam 12.03 tengah hari, 7 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Andy Yong Kim Seng merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana Muhammad Amar Zaid masih muda selain hanya bekerja sebagai penjual sup herba.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media melaporkan Muhammad Amar Zaid mendakwa diperas ugut oleh anggota polis pada 2 Jun lalu kerana gagal mengemukakan surat kebenaran untuk beroperasi dalam tempoh 'total lockdown'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!