Tiga sekawan cipta 15 variasi perisa pisang goreng

Tiga sekawan sebaya yang juga merupakan siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam menghasilkan 15 variasi perisa pisang goreng dan menjana pulangan lumayan. - Foto Bernama
Tiga sekawan sebaya yang juga merupakan siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam menghasilkan 15 variasi perisa pisang goreng dan menjana pulangan lumayan. - Foto Bernama
A
A
A

KREATIF dan inovatif. Itulah yang boleh digambarkan untuk tiga sekawan sebaya yang juga merupakan siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam menghasilkan 15 variasi perisa pisang goreng dan menjana pulangan lumayan.

Mewakili trio itu, Shaidil Haq Ahamad Pakhrurazi, 22, berkata, idea untuk berniaga pisang goreng berperisa itu timbul apabila beliau ingin mengisi masa terluang selain mencari ‘duit poket’ untuk menampung yuran pengajian di universiti.

Katanya, enggan terikat dengan sebarang pinjaman bagi menampung yuran pengajian membuatkan beliau melakukan ‘eksperimen' pada pertengahan tahun lalu bagi mengetahui menu yang berpotensi tinggi selain mampu memikat hati penduduk di negeri ini.

“Saya mula membuat beberapa eksperimen selain turut merujuk beberapa video untuk mengetahui makanan yang sering menjadi pilihan orang ramai dan tidak lapuk ditelan zaman terutamanya di negeri ini.

“Dari situ saya mendapat ilham sebelum mengajak dua sahabat saya Nik Muhammad Asyran Nik Mazri yang kini belajar dalam jurusan Seni Bina Dalaman di UiTM Puncak Alam dan Muhammad Haiqal Hakimi Yusri pula dalam bidang Perniagaan Tani di UiTM Jasin, Melaka untuk menjalankan perniagaan ini,” katanya ketika ditemui Bernama di gerai Pishang King di Jalan Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa dekat sini.

Pisang goreng yang memberi pulangan lumayan kepada tiga siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM). - Foto Bernama
Pisang goreng yang memberi pulangan lumayan kepada tiga siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM). - Foto Bernama

Bercerita lanjut, siswa jurusan Kejuruteraan Mekanikal tahun pertama di UiTM Shah Alam itu berkata, pada awalnya beliau hanya merujuk kepada ibunya Noor Zuraini Zulkifli, 48, dan bapanya Ahamad Pakhrurazi Muhammad, 58, untuk mengetahui resipi menghasilkan pisang goreng.

Katanya, selepas melakukan beberapa kali percubaan adunan bancuhan selepas membuat rujukan beberapa resipi untuk menghasilkan pisang goreng barulah beliau bertiga berpuas hati dengan hasil yang diperoleh.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai percubaan kami bertiga hanya membuat ‘testing’ kepada rakan-rakan terdekat serta keluarga untuk mendapatkan maklum balas mereka, dan ternyata rata-rata mereka sangat berpuas hati sekali gus membuatkan kami bertekad untuk berniaga.

“Bermula Ogos tahun lalu kami memulakan perniagaan dengan menyewa tapak gerai jualan di Dataran Mara, Kota Bharu, namun perniagaan kami ketika itu hanya mampu bertahan sekitar lima bulan sahaja sebelum ia terpaksa ditutup disebabkan beberapa kekangan.

“Bagaimanapun ia tidak berakhir di situ sahaja memandangkan kami meneruskan perniagaan menerusi kaedah pembayaran tunai ketika serahan (COD) sebelum memutuskan untuk membuka kembali gerai niaga kami di Jalan Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa di sini pada Februari lalu,” katanya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu mengakui tidak mudah untuk menguruskan pengajian di samping berniaga, namun ia tidak menjadi penghalang untuk mereka bertiga meneruskan perniagaan itu dengan membahagikan masa dengan baik.

Katanya, hampir setiap hari beliau bertiga akan mendapatkan 50 kilogram (kg) pisang berangan daripada beberapa pembekal pisang di sekitar daerah ini untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Antara perisa yang ditawarkan termasuklah coklat, strawberi, coklat putih, tiramisu, teh hijau, karamel, butterscoth selain yang mendapat permintaan tinggi adalah pisang goreng berperisa nutella.

“Setiap bekas pisang goreng dijual bermula harga RM5 dan mampu mencecah sehingga RM20 bergantung kepada pilihan hiasan dan bilangan pisang iaitu antara lapan dan 16 biji.

“Syukurlah, idea untuk menghasilkan pisang goreng dengan pelbagai perisa ini ternyata mampu memberi pulangan lumayan sehingga kami bertiga mampu meraih hasil jualan mencecah RM1,500 sehari,” katanya yang berniaga bermula 2.30 petang hingga 7 malam hampir setiap hari kecuali Jumaat.

Ujar beliau lagi, mereka bertiga yang telah bersahabat 14 tahun lalu sejak di bangku sekolah itu turut merancang mempelbagaikan lagi perisa yang ada, selain berhasrat untuk membuka gerai di daerah lain pada masa akan datang. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!