53,571 pekerja industri di Selangor positif Covid-19

Gambar kecil: Datuk Seri Amirudin Shari
Gambar kecil: Datuk Seri Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM – Seramai 53,571 orang pekerja di seluruh Selangor telah dikenal pasti positif Covid-19 melalui saringan yang dilaksanakan di tempat kerja masing-masing bagi tempoh bermula Julai lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan rekod, pecahan jumlah pekerja industri terlibat adalah terdiri daripada 62 peratus sektor perkilangan, 14.5 peratus perkhidmatan, 13.5 peratus pembinaan dan 10 peratus perdagangan.

“Kes-kes positif ini dikenal pasti menerusi saringan-saringan yang dijalankan oleh majikan masing-masing sebagai persediaan sebelum masuk ke tempat kerja, saringan kontak rapat kepada rakan kerja yang positif dan saringan kendiri pekerja itu sendiri di fasiliti-fasiliti kesihatan swasta,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan oleh Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Pas-Sijangkang) berhubung jumlah individu yang disyaki positif Covid-19 dalam sektor industri di Selangor.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, sebanyak 237 daripada 2,457 premis yang diperiksa di seluruh Selangor telah diarah tutup susulan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Penutupan itu merangkumi 129 ditutup atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 108 lagi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.

Tambah Amirudin, arahan penutupan itu adalah berkuatkuasa selama tujuh hari dan pemilik industri terlibat juga diberikan arahan kerja bagi melaksanakan penambahbaikan dalam tempoh tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!