AFL taruh harapan Liga M3 diberi lampu hijau beraksi

Mohd Yusoff - Foto fail Bernama
Mohd Yusoff - Foto fail Bernama
A
A
A

SELEPAS terpaksa ditunda sebanyak dua kali musim ini, Liga Bola Sepak Amatur (AFL), masih berharap saingan Liga M3 dapat dijalankan selewat-lewatnya pada Oktober, demi kelangsungan liga itu yang semakin mendapat sambutan menggalakkan.

Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, antara sebab utama saingan itu perlu dijalankan, untuk memastikan proses penyingkiran dan promosi pasukan antara Liga Premier dan Liga M3 tidak terganggu, buat tahun kedua berturut-turut.

Beliau berkata, kemungkinan besar tiada pasukan dari Liga M3 akan dipromosikan ke Liga Premier musim depan, serta tiada pasukan dari Liga Premier akan disingkirkan ke Liga M3 jika saingan musim ini turut dibatalkan.

“Kedua, untuk memastikan kelangsungan itu ada, kalau kita dapat jalankan saingan musim ini untuk tahun depan, kita ada gambaran (mengendalikan saingan liga) yang lebih jelas.

“Kita (AFL) juga perlu penaja untuk bersama-sama menjayakan liga ini, jika (Liga M3) musim ini tidak dapat dilangsungkan, ia mungkin memberi maksud tidak baik sekali gus menyukarkan kita untuk dapatkan penaja, pada masa hadapan,” katanya kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu kepada Bernama.

Sebanyak 20 pasukan antaranya Armed Forces FC, Real Chukai FC, Kuala Lumpur Rovers FC, Langkawi City FC, Kuala Kangsar FC, Kinabalu Jaguar FC dan Imigresen FC, sah mengambil bahagian dalam saingan Liga M3 musim ini, yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.

Sementara itu, Mohd Yusoff memberitahu, AFL sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang diperlukan, selain mempunyai beberapa perancangan dan pilihan termasuk akan mengubah format liga sekiranya perlu.

“Liga M3 ini dimainkan di padang terbuka, jadi untuk dapatkan kelulusan mungkin ada beberapa perkara yang perlu diteliti. Walaupun kita (AFL) masih bercadang untuk meneruskan tetapi ia bergantung kepada keputusan kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Februari lepas, AFL mengesahkan saingan Liga M3 yang pada asalnya dijadual bermula pada Mac, dipinda ke Jun susulan situasi semasa pandemik Covid-19, sebelum sekali lagi terpaksa ditunda disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Saingan Liga M3 musim lepas turut berdepan nasib sama, apabila dibatalkan demi menjaga kesihatan dan keselamatan masyarakat, susulan penularan pandemik Covid-19. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!