Pasangan Singapura buang anak di Taiwan
TAIPEI - TAIWAN. Sepasang kekasih dari Singapura didakwa membuang anak perempuan mereka yang baru dilahirkan di dalam tong sampah ketika bercuti di Taiwan.
Mayat bayi itu ditemui dalam beg plastik di Taipei pada awal Selasa lalu, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia meninggal dunia sebelum atau selepas dibuang.
Pihak berkuasa memaklumkan suspek lelaki berusia 23 dan teman wanitanya berumur 24 tahun itu turut kembali ke Singapura pada hari yang sama.
Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di luar restoran di daerah Ximending menunjukkan lelaki itu membawa bayi dalam beg plastik berwarna hitam sebelum membuangnya ke tong sampah pada jam 3 pagi (waktu tempatan).
Mayat bayi perempuan masih lengkap bertali pusat dan mempunyai uri itu kemudiannya ditemui pengutip sampah.
Polis kemudiannya melakukan pemeriksaan terhadap hotel di kawasan Wanhua yang menjadi tumpuan pelancong dari Asia Tenggara, namun suspek telah mendaftar keluar dan pulang ke Singapura pada jam 4.36 petang.
Siasatan awal mendapati, lelaki tersebut tiba di hotel itu bersama wanita yang sedang sarat hamil pada 19 Februari lalu.
Pihak berkuasa turut mendapatkan sampel darah dari bilik pasangan itu untuk ujian DNA.
Autopsi telah dijadualkan pada Selasa ini untuk menentukan sebab dan masa tepat kematiannya. - Daily Mail
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!