Skuad berbasikal trek pamer kayuhan kurang bertenaga
SKUAD berbasikal trek kebangsaan ternyata menghasilkan kayuhan kurang bertenaga, apabila kesemua wakilnya tidak menyerlah pada kempen hari pertama mereka di Sukan Paralimpik Tokyo.
Pelumba, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama jurumudinya, Nurul Suhada Zainal, yang memulakan saingan kempen skuad negara di Velodrom Izu pagi tadi, sekadar meraih tempat kesembilan dalam acara trek 1,000 meter (m) ujian masa wanita B (kecacatan penglihatan) dengan merekodkan 1 minit 15.005 saat (s).
Pelumba Belanda Larissa Klaassen, bukan sahaja meraih emas malah turut memperbaharui rekod Sukan Paralimpik dengan catatan 1:05.219 saat (s), meninggalkan wakil Great Britain Aileen McGlynn Obe untuk merangkul perak dengan 1:06.743s, manakala Griet Hoet dari Belgium yang merekod masa 1:07.943s membawa pulang gangsa.
Bagi acara 3,000m kejar mengejar lelaki C1 (kecacatan fizikal), Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin pula, terpaksa melupakan hasrat untuk sekurang-kurangnya beraksi pada perlumbaan penentuan pingat gangsa, selepas menduduki tangga ketujuh daripada 10 pelumba dalam saingan kelayakan dengan masa 3:58.413s.
Pelumba dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia Mikhail Astashov, yang muncul pelumba terpantas dalam saingan berkenaan, turut memecah rekod dunia dengan catatan masa 3:35.954s.
Sementara itu, aksi hambar juga disajikan dua lagi pelumba kebangsaan, Muhammad Hafiz Jamali dan Zuhairie Ahmad Tarmizi, dalam 1,000m ujian masa lelaki C4 (kecacatan fizikal).
Zuhairie menamatkan kayuhannya dengan catatan 1:06.472 di tangga ke-10, manakala Muhammad Hafiz mencatat masa 1:11.288s untuk menempatkan diri di kedudukan ke-19 daripada 21 pelumba secara keseluruhan.
Alfonso Cabello Llamas dari Sepanyol merangkul emas dengan 1:01.557s, mengecewakan juara bertahan dari Great Britain Jody Cundy, yang terpaksa berpuas hati dengan perak selepas mencatat masa 1:02.529s dan pelumba Slovakia Jozef Metelka, gangsa dengan masa 1:05.500s. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!