Komitmen Kane tonik mujarab buat Tottenham
KEPUTUSAN Kapten Tottenham Hotspur, Harry Kane untuk terus kekal bersama The Lilywhites disifatkan satu tonik mujarab kepada kelab London tersebut yang bermula langkah kanan dalam dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Malah pengendali Tottenham, Nuno Espirio Santo mengakui adalah amat penting buat The Spurs untuk mengekalkan khidmat pemain berusia 28 tahun yang merupakan antara penyerang terbaik dunia tersebut.
“Sejujurnya ini merupakan satu perkhabaran gembira buat semua keluarga Tottenham Hotspur yang mengakhiri persoalan mengenai komitmen Kane selama ini sejak awal musim ini.
“Malah untuk kelab ini merupakan masa terbaik untuk memberikan hasil yang terbaik baik dalam pertandingan domestik ataupun Eropah bagi membalas kepercayaan Kane yang terus mahu berkhidmat di kelab London ini.
“Jadi adalah menjadi harapan saya supaya semua pemain Tottenham menunjukkan keyakinan dan disiplin tinggi dalam mengharungi saingan musim ini agar kelab ini boleh meraih kejayaan,” ujar Nuno.
Penyerang England tersebut sebelum ini menamatkan teka-teka masa depannya bersama The Lilywhites apabila mengesahkan untuk kekal bersama kelab London dalam saingan EPL musim ini.
Kane juga merupakan penjaring kedua terbanyak The Lilywhites dengan 221 gol, ketinggalan 45 gol di belakang pemegang rekod kelab tersebut, Jimmy Greaves.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!