Dua helikopter bomba bantu vaksinasi orang asli Gua Musang
KOTA BHARU - Dua unit helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membantu proses suntikan vaksin Covid-19 kepada orang asli di kawasan pedalaman Gua Musang.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, pesawat itu dijangka tiba selewat-lewatnya penghujung bulan ini.
Katanya, bomba turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan menguruskan proses pemberian suntikan vaksin berkenaan.
“Kita sudah mengenal pasti 16 pos penempatan orang asli dan bersedia membantu membawa vaksin ke kawasan terbabit.
“Dua aset milik Unit Udara JPBM tersebut akan diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang menerusi Program Mobile Vaksinasi Covid-19 bagi membantu mempercepatkan negeri ini mencapai imuniti kelompok,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjung, di sini pada Khamis.
Beliau sebelum itu melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Bulan Kemerdekaan ke-64 dengan menampilkan maskot Tupai bernama EDIE atau Early Detecation in Emergency.
Mengulas lanjut katanya, inisiatif helikopter oleh JBPM adalah usaha kedua selepas menyediakan perkhidmatan bas bomba bagi Program Mobile Vaksinasi Covid-19.
Dalam pada itu, Zainal turut memberitahu, pihaknya dijangka berhadapan cabaran besar dalam misi menyelamat mangsa banjir di negeri ini ketika tempoh pandemik.
Tambah beliau, seramai 610 dengan aset logistik 34 bot dan lapan lori serta kemudahan lain kini bersedia untuk menyelamatkan mangsa banjir.
“Misi akan dilaksanakan menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan mengesan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang mungkin terlibat dengan banjir,” katanya.
Selain itu ujar beliau, penugasan JBPM Kelantan dalam menguruskan pengebumian jenazah Covid-19 semasa banjir tetap diteruskan.
“Setakat ini sejumlah 668 jenazah Covid-19 diuruskan JBPM Kelantan dengan purata anggaran lapan hingga 10 jenazah sehari.
“Penambahbaikan SOP banjir dilakukan melalui latihan kemahiran kepada anggota secara maya membabitkan semua agensi yang terlibat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!