Lapangan Terbang Kabul penting untuk hantar bantuan
CHICAGO - Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu menyatakan terdapat keperluan kritikal dan mustahak untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai Kabul kekal berfungsi sepenuhnya untuk penyaluran bantuan selepas pengunduran Amerika Syarikat.
Menurut Agensi Anadolu, ketua jurucakap PBB, Stephane Dujarric memberitahu wartawan, lapangan terbang itu harus terus dibuka untuk komoditi dan petugas keluar masuk.
"Kita memang boleh membawa beberapa barangan melalui operasi rentas sempadan. Tetapi konvoi trak dalam keadaan seperti ini memerlukan kos yang tinggi dan tempoh lebih lama untuk sampai ke destinasi," katanya.
Beberapa hari selepas Taliban mengambil alih negara itu awal bulan ini dan menguasai kawasan lapangan terbang, PBB mengumumkan komitmennya untuk terus tinggal dan menyampaikan bantuan kepada berjuta-juta orang yang memerlukan di negara ini.
"Walaupun keadaannya sangat rumit agensi kemanusiaan komited untuk menyokong penduduk terjejas di Afghanistan yang sangat memerlukan kita," menurut PBB dalam satu kenyataan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!