Keyakinan perniagaan merosot pada suku ketiga 2021
PENIAGA lebih pesimis terhadap keadaan perniagaan mereka pada suku ketiga 2021, menurut kajian terkini Jabatan Perangkaan yang dijalankan secara suku tahunan untuk mengukur jangkaan prestasi perniagaan bagi suku tahun dan enam bulan yang akan datang.
Berdasarkan Survei Kecenderungan Perniagaan bagi suku ketiga 2021, petunjuk keyakinan merosot kepada -21.3 peratus pada suku tahun rujukan berbanding -3.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, semua sektor yang diliputi menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan untuk suku ketiga 2021 berikutan pandemik Covid-19 yang buruk dan berpanjangan di negara ini.
“Petunjuk keyakinan bagi sektor perdagangan borong dan runcit merosot ke trajektori negatif dengan -39.4 peratus berbanding +5.6 peratus pada suku kedua 2021 disebabkan peniaga yang kurang keyakinan terhadap keadaan perniagaan mereka untuk tempoh tiga bulan akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, ujarnya, sektor industri dan perkhidmatan menunjukkan lebih pesimis dengan petunjuk keyakinan masing-masing menyusut kepada -11.0 peratus dan -22.8 peratus pada suku ketiga berbanding -1.5 peratus dan -6.1 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.
Jelas Mohd Uzir, pada masa sama, sektor pembinaan juga menjangkakan keadaan perniagaan mereka merosot pada suku tahun rujukan dengan -45.0 peratus berbanding -30.5 peratus pada suku kedua.
“Secara keseluruhan, imbangan bersih -12.9 peratus iaitu 23.6 peratus pertubuhan menjangkakan hasil kasar meningkat untuk suku ketiga, manakala 36.5 peratus menunjukkan sebaliknya.
“Pada masa yang sama, 39.9 peratus pertubuhan meramalkan hasil kasar mereka kekal sama. Dari segi pekerjaan, majoriti pertubuhan (76.5 peratus) meramal untuk mengekalkan pekerja mereka untuk suku tahun rujukan," kata Mohd Uzir.
Beliau berkata sebanyak 8.5 peratus pertubuhan menjangkakan pengambilan pekerja yang lebih ramai, manakala 15.0 peratus berhasrat mengurangkan tenaga kerja seterusnya mendorong kepada imbangan bersih -6.5 peratus untuk suku ketiga 2021.
Melihat kepada sentimen bagi enam bulan ke hadapan, Mohd Uzir berkata, peniaga pesimis terhadap prospek perniagaan mereka bagi Julai hingga Disember 2021 dengan imbangan bersih keseluruhan -21.7 peratus berbanding +11.0 peratus bagi April hingga September 2021.
Sama seperti jangkaan untuk tiga bulan akan datang, kesemua sektor menjangkakan prospek negatif dengan sektor yang merekodkan pesimis paling kecil adalah industri.
Menurut tinjauan itu, sektor industri menjangkakan keadaan perniagaan merosot dari +12.5 peratus kepada -11.8 peratus untuk separuh kedua 2021.
Pada masa sama, ujarnya sektor perkhidmatan dan pembinaan menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang memberangsangkan untuk enam bulan akan datang dengan imbangan bersih masing-masing -14.2 peratus dan -24.2 peratus berbanding +8.4 peratus dan +6.1 peratus dicatatkan bagi April hingga September 2021.
Mohd Uzir berkata, sektor perdagangan borong dan runcit turut meramalkan prestasi perniagaan yang mencabar dalam tempoh enam bulan akan datang dengan imbangan bersih -59.7 peratus berbanding +12.5 peratus yang direkodkan sebelumnya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!