Lima jam pindah gajah jantan liar
KUALA BERANG - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mengambil masa kira-kira lima jam untuk memindahkan seekor gajah jantan liar di Kampung Basung, di sini, pada Khamis.
Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, haiwan liar seberat 2.5 tan itu ditangkap kira-kira pukul 3 petang Isnin lepas melalui kaedah tembakan ubat pelali.
Katanya, sebelum operasi tersebut pihaknya telah membuat pemantauan sejak 18 Ogos lepas, susulan aduan penduduk kampung mengenai sekumpulan gajah yang sering berkeliaran dan merosakkan tanaman.
"Hari ini, kita menggunakan dua ekor gajah denak betina iaitu Suria dan Kala dari Pusat Konservasi Gajah, Sungai Deka, Hulu Terengganu untuk proses memindahkan gajah liar berusia lingkungan 15 tahun itu.
"Hasil risikan di kawasan sekitar mendapati terdapat kira-kira 14 ekor gajah dalam kumpulan ini dan Perhilitan Terengganu akan terus memantau pergerakan gajah lain yang masih berkeliaran," katanya kepada pemberita selepas operasi pemindahan gajah berkenaan di sini.
Menurut Abdul Malek, gajah tersebut akan dilepaskan semula ke habitat baharu yang selamat dan jauh daripada penempatan penduduk.
Sementara itu, seorang pekebun Mohd Salleh Hamid, 48, memberitahu, masalah pencerobohan gajah di kawasan kebun sekitar Kampung Basung dan Kampung Pasir Dula berlaku berterusan sejak dua tahun lepas.
"Serangan gajah di sini semakin kerap apabila tiba musim buah-buahan sejak Julai lepas.
"Mereka bukan sahaja makan buah cempedak dan durian tetapi turut merosakan tanaman sehingga menyebabkan ramai pekebun mengalami kerugian sekitar RM3,000 hingga RM5,000 seorang," katanya.
Katanya, penangkapan gajah itu sekurang-kurangnya telah mengurangkan kerisauan penduduk kampung terhadap ancaman gajah liar yang ada kala berkeliaran sehingga ke perkarangan rumah. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!