Lagu parodi dapat perhatian Sultan Johor, TMJ cari Azman Naim
JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim sedang mencari penyanyi lagu parodi, Mohd Nur Azman Naim, 36, yang kerap menyanyi lagu-lagu Melayu dalam media sosial dengan lirik yang diubah mengikut isu semasa.
Menerusi satu perkongsian dalam Instagramnya, Tunku Ismail memaklumkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan baginda mencari pemilik akaun tersebut kerana parodi lagu lelaki itu mendapat perhatian Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Bagaimanapun kata TMJ, penyanyi tersebut dicari bukan atas sebab yang tidak baik tetapi susulan sebuah video nyanyian semula My Way dendangan Frank Sinatra yang dimuat naik individu terbabit dalam Instagram.
TMJ turut memuji perkongsian Azman Naim dalam Instagram dan memuat naik kembali salah satu video di Instagram dengan kapsyen 'First Class'.
Menyedari TMJ sedang mencarinya, Azman Naim turut memberikan maklum balas dengan menulis 'Menjunjung Kasih Tuanku' dalam Facebooknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!