53,744 OKU di Johor sedia terima vaksin

Zaiton Ismail (belakang) meninjau operasi di PPV Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, Johor Bahru pada Khamis.
Zaiton Ismail (belakang) meninjau operasi di PPV Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 53,744 orang kurang upaya (OKU) di Johor sudah mendaftar untuk suntikan vaksinasi Covid-19 setakat 15 Ogos lalu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail berkata, OKU paling ramai mendaftar adalah di daerah ini membabitkan 15,401 orang diikuti Batu Pahat (8,065 orang) dan Muar (5,619 orang).

"Kita berharap lebih ramai lagi anggota keluarga individu OKU membantu mendaftarkan golongan ini dari masa ke masa agar mereka tidak ketinggalan mendapatkan vaksinasi.

"Sehubungan itu kita meminta golongan sasar untuk memanfaatkan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin di sini," katanya dalam sidang akhbar di PPV tersebut pada Khamis.

Zaiton berkata, pihaknya menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT) turut menyediakan pengangkutan kepada mereka yang layak khususnya golongan OKU dan warga emas.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya kini dalam proses memindahkan kira-kira 200 gelandangan lelaki di sekitar Johor Bahru ke pusat perlindungan sementara di Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling di sini.

Katanya, pada 15 Ogos lalu, pihaknya sudah memindahkan 23 gelandangan wanita dan mereka semua ditempatkan sementara hingga Pusat Gelandangan di Taman Larkin Perdana di sini siap sepenuhnya Julai tahun depan.

"Gelandangan yang mempunyai masalah penagihan dadah diberi kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) manakala gelandangan yang mempunyai masalah mental diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!