Jangan pisang berbuah dua kali
BEBERAPA minggu lepas dalam ruangan ini, saya menulis tentang kajian asal-usul pantun lama iaitu ‘Siakap Senohong Gelama Ikan Duri.’ ia hanya kajian sendiri untuk memberi faham rakyat jelata supaya mengambil iktibar di sebalik maksud pantun itu.
Baru-baru ini pula, saya ada terbaca satu peribahasa menarik. Peribahasa lama ini juga perlu diberi perhatian kerana mempunyai maksud amat baik.
Peribahasa dimaksudkan itu ialah seperti berikut, “anak anjing tak akan menjadi anak musang jebat". Jika difikirkan tentang peribahasa ini amat susah juga kita hendak memahaminya. Bahkan hendak mengetahui juga kenapa digunakan anak anjing dan musang jebat.
Anak anjing mungkin ramai yang kenal, tetapi musang jebat bagaimana pula? Adakah sama dengan musang-musang lain seperti musang buah, musang pandang dan musang tenggalung?
Mungkin bijak pandai dan anak-anak muda zaman sekarang perlu beri perhatian juga akan pertanyaan saya ini. Bukan apa, takut nanti pupus ditelan zaman.
Dalam artikel minggu ini pula saya cuba tekankan maksud peribahasa. Bukan apa, rasa keliru juga apabila membaca maksud ‘orang yang tidak berilmu tidaklah mungkin mendapat kedudukan yang baik.’
Mungkin kita boleh sama-sama berfikir juga berkenaan maksud ilmu yang dimaksudkan di sini. Ini kerana pada zaman sekarang ramai juga orang yang tidak berilmu tetapi mendapat kedudukan yang baik pula. Itu pun jika kita terjemahkan maksud perkataan ilmu ini sebagai kelayakan akademi yang rasmi. Maka banyaklah juga contoh yang berlaku sekarang.
Malah, sekarang ramai juga yang berlumba-lumba untuk memberitahu bahawa mereka sebenarnya ada kelulusan itu dan ini supaya tidak dituduh menipu. Lebih-lebih lagi apabila tular isu yang ada di antara mereka ini tiada kelayakan sepatutnya tetapi mendapat tempat yang baik, iaitu menjadi orang penting.
Namun begitu, maksud ilmu ini luas. Mungkin juga kita boleh perluaskan lagi maksudnya. Tidak semestinya maksud ilmu dalam peribahasa itu. Bak kata peribahasa Melayu lama lagi, keluasan ilmu seperti lautan yang tidak bertepi.
Orang-orang yang bak kata peribahasa lama ini lagi, seperti ‘lubuk akal lautan’ tidak semestinya bermaksud hanya untuk kelayakan yang rasmi. Mempunyai pengalaman juga boleh dikatakan sebagai mempunyai ilmu yang luas. Maka di sini mungkin bolehlah kita katakan maksud ilmu ini, sebagai segala macam ilmu yang terisi di dada yang boleh diberi dan dikongsi pula kepada yang memerlukan.
Tetapi hendaklah juga kita berhati-hati. Ada juga orang yang berilmu luas tetapi menggunakannya ke jalan yang salah. Ada orang begitu termasuk orang-orang yang mempunyai kedudukan baik juga.
Maka di sini kita boleh juga memberi pandangan, peribahasa yang pertama saya sebutkan tadi mungkin tidak tepat juga. Iaitu orang yang tidak berilmu tidak mungkin mempunyai kedudukan yang baik, ilmu apa sebenarnya. Adakah ilmu berbohong atau ilmu benar?
Maka berhati-hatilah rakyat jelata supaya tidak tersalah pilih pula, seperti kata peribahasa lama lagi, bak membelah kepayang muda, makan mabuk, dicampak sayang pula. Baru-baru ini kempen pilihan raya kecil banyak diperkatakan rakyat jelata. Seperti ditularkan berkenaan ada wakil yang bertanding memberi janji-janji manis yang jika difikirkan dengan akal waras seakan-akan terlampau indah pula.
Ada di antara wakil yang bertanding beritahu, jika menang hari ini, maka esok masalah selesai, hendak membina hospital dan bermacam-macam lagi. Baguskah kalau begitu cita-citanya. Apa yang hendak dibuat itu semua adalah untuk kebaikan rakyat jelata juga.
Cuma, takut tersalah langkah, janganlah sampai menjadi seperti pantun orang-orang tua bijak pandai kita dahulu, ‘pokok rumbia pokok dedap, manakan sama si pokok jambu; Sedangkan lebai lagikan tersilap, inikan pula kurang ilmu.’ Apabila tersilap langkah maka meranalah badan. Menyesal kemudian tiada guna.
Oleh itu sebagai langkah berjaga-jaga, mungkin peribahasa ini ramai anak-anak muda yang tahu, iaitu janganlah pisang berbuah dua kali dan janganlah harapkan pegar, pegar makan padi pula. Selamat mengundi!
*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar email beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!