TNB tetapkan aspirasi pelepasan sifar bersih menjelang 2050

Gambar kecil: Baharin
Gambar kecil: Baharin
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhasrat mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 menerusi pengurangan intensiti sebanyak 35 peratus dan pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din berkata, hala tuju baharu ke arah dekarbonisasi dan tenaga boleh diperbaharui itu memberi pemahaman yang lebih jelas terhadap kelestarian TNB untuk tempoh 30 tahun akan datang.

Tambahnya, hasrat itu serentak dengan pengumuman Separuh Pertama Tahun Kewangan 2021 (TK2021) pada Khamis.

“Selain itu, TNB akan terus memastikan pendapatan daripada loji penjanaan arang batu tidak melebihi 25 peratus daripada keseluruhan pendapatannya.

“Awal tahun ini, syarikat telah menyatakan komitmennya untuk tidak lagi melabur dalam pembinaan loji arang batu di atas tapak baharu selepas Jimah East Power beroperasi pada 2019 manakala loji sedia ada akan diberhentikan tugas apabila perjanjian pembelian tenaga (PPA) tamat.

“Menjelang 2035, kami akan terus menambah baik kecekapan loji termal sedia ada dan meningkatkan portfolio penjanaan tenaga boleh diperbaharui. Sasaran kami untuk mencapai 8,300MW RE menjelang 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Baharin berkata, TNB melaporkan pemulihan berperingkat prestasinya dalam Separuh Pertama Tahun Kewangan 2021 di sebalik situasi pandemik Covid-19 semasa dengan mencatatkan keuntungan pada RM1,8235 juta.

Tambah beliau, keuntungan tersebut meningkat daripada RM1,412.7 juta pada Separuh Pertama Tahun Kewangan 2020 tetapi masih lebih rendah berbanding sebelum pandemik iaitu RM2,651.3 juta.

Artikel Berkaitan:

“Pemulihan secara berperingkat dilihat pada usut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan PAT sebahagian besarnya berikutan pendapatan elektrik Kumpulan yang lebih tinggi disebabkan pembukaan semula perniagaan tahun ini.

“Berbanding dengan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang dikuatkuasakan pada tahun lalu dan rebat ICPT yang lebih rendah bagi tempoh itu.

“Prestasi anak-anak syarikat kami juga semakin meningkat oleh kerana lebih banyak perniagaan dibenarkan untuk beroperasi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Sepanjang tahun ini, prestasi ekonomi Malaysia adalah lebih baik dalam suku kedua dengan mencatatkan pertumbuhan 16.1 peratus berbanding negatif 0.5 peratus dalam suku pertama.

Menurutnya, pertumbuhan itu sebahagian besarnya dipacu peningkatan dalam permintaan domestik dan prestasi teguh eksport yang berterusan.

“Ia konsisten dengan pertumbuhan dalam peningkatan permintaan yang dilaporkan TNB sebanyak 4.4 peratus bagi separuh pertama tahun ini yang menunjukkan pemulihan dalam sektor industri.

“Bagaimanapun, menjelang akhir suku kedua, kelembapan ekonomi berlaku berikutan penguatkuasaan semula langkah-langkah pencegahan yang lebih ketat di seluruh negara kerana kenaikan semula kes-kes Covid-19.

“Oleh itu, Bank Negara Malaysia telah meneliti semula unjuran pertumbuhan antara 3.0 peratus dan 4.0 peratus bagi tahun 2021,” katanya

Jelas beliau, TNB akan terus mengambil langkah-langkah berhemat dalam keperluan operasi mahupun kewangannya untuk memastikan ia kekal berdaya tahan dalam pandemik Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!